Rashifa Aljunied (kanan) bersama Amira Aisya.

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak tercabar atau tergugat dengan calon-calon muda daripada parti lain yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, banyak parti kini mula meletakkan calon muda sama seperti MUDA lakukan dalam PRN atau pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

“Situasi ini sebenarnya menggambarkan kejayaan MUDA yang selama ini menyuarakan keperluan untuk mengetengahkan calon muda dalam mana-mana pilihan raya.

“Kalau ikutkan MUDA ini dari  awal kita ditubuhkan, fungsi kita bukan sekadar untuk menang pilihan raya semata-mata, tetapi fungsi kita adalah untuk mencabar norma politik Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan calon MUDA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied yang berusia 26 tahun di Taman Daya di sini, hari ini.

Kata Amira Aisya, dari  awal lagi pihaknya mahu memastikan semua parti bukan sahaja MUDA mengetengahkan orang muda.

“Jadi, bagi saya apabila parti-parti semua ini mengetengahkan calon muda, itu juga adalah kejayaan MUDA kerana kita yang tak habis-habis ‘berzikir’ tentang letaklah orang muda sebagai calon dan mungkin parti lain rasa tercabar dan mereka juga letak calon muda.

“Bagi saya, itu adalah satu kejayaan yang kita patut raikan,” katanya yang juga Penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa.

Apabila ramai wakil golongan muda selepas ini, beliau beranggapan calon berkenaan boleh fokus terhadap dasar untuk rakyat Johor ketika berkempen dan bukan soal berebut kerusi.

MUDA diasaskan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah parti politik pada Disember 2021.

Syed Saddiq kemudian memegang jawatan Presiden MUDA sebelum diganti Amira Aisya bagi penggal 2026 hingga 2029.

Pada penggal sebelumnya, Amira Aisya hanya menyandang jawatan Pemangku Presiden selepas Syed Saddiq melepaskan kedudukan Presiden pada 9 November 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast