KUALA LUMPUR – Program Truck Fighter & Meet Show 2.0 terus menerima sambutan menggalakkan apabila merekodkan kehadiran lebih 3,000 pengunjung setakat tengah hari ini.
Jumlah itu dilihat menghampiri sasaran yang ditetapkan penganjur iaitu seramai 5,000 pengunjung sepanjang program yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.
Penganjur memaklumkan, sambutan yang diterima daripada peminat kenderaan pacuan empat roda (4WD), penggiat industri automotif dan orang ramai menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding jangkaan awal.
“Setakat tengah hari ini, kehadiran pengunjung telah melebihi 3,000 orang dan kami menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat sehingga tamat program malam nanti,” menurut kenyataan penganjur hari ini.

Menurut penganjur, pelbagai pengisian dan aktiviti menarik masih berlangsung termasuk pameran kenderaan 4WD, pertandingan autoshow, aktiviti off-road, pameran industri automotif, gerai jualan serta cabutan bertuah.
Orang ramai yang masih belum berkesempatan hadir turut dijemput memeriahkan program tersebut yang menghimpunkan komuniti pemilik dan peminat kenderaan pacuan empat roda dari seluruh negara.
Truck Fighter & Meet Show 2.0 sebelum ini dilaporkan bakal menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dengan sasaran kehadiran sekitar 5,000 pengunjung terdiri daripada peminat automotif, usahawan bengkel, penggiat industri serta komuniti sukarelawan pacuan empat roda.
Program anjuran Zaki GM Garage Sdn. Bhd. itu turut menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama dalam industri automotif tempatan selain mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti 4WD yang sering terlibat dalam operasi bantuan bencana dan banjir. Malah, acara kali ini turut disertai komuniti 4WD dari Thailand dan Singapura.
Penganjur optimis sasaran 5,000 pengunjung mampu dicapai menjelang tamat program malam ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Truck Fighter & Meet Show sebagai antara acara komuniti 4WD terbesar di negara ini. – MalaysiaGazette
















