Mesyuarat secara tertutup berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort di sini itu dihadiri 198 ahli, memenuhi syarat kuorum yang ditetapkan.

KUALA LUMPUR – Mantan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan dilantik sebagai Naib Presiden Parti Wawasan Negara selepas 198 ahli bersetuju memberi mandat kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menerajui parti itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung secara tertutup, semalam.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, keputusan tersebut dibuat selepas PCM meluluskan penjenamaan semula kepada Parti Wawasan Negara dan melaksanakan peralihan kepimpinan parti secara menyeluruh.

Mesyuarat yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort di sini itu dihadiri 198 ahli, memenuhi syarat kuorum yang ditetapkan.

Difahamkan, keseluruhan barisan jawatankuasa PCM sebelum ini meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada pembentukan kepimpinan baharu yang diterajui Hamzah.

Selain Hamzah yang dipilih sebagai Presiden, Tan Sri Rais Yatim dilantik sebagai Pengerusi, manakala Datuk Saifuddin Abdullah dipilih sebagai Setiausaha Agung.

Cheng Guan pula dilantik sebagai salah seorang Naib Presiden bersama Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan; Datuk Leong Kim Soon dan Datuk Mohd Omar Mustapha.

Sumber berkata, agenda utama mesyuarat tersebut adalah untuk meluluskan pertukaran nama dan logo parti kepada Parti Wawasan Negara selain membuat beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti.

“Ahli-ahli yang hadir turut diingatkan supaya tidak mengambil gambar, merakam video atau membuat rakaman suara sepanjang mesyuarat berlangsung dan tiada sidang media diadakan selepas mesyuarat tamat,” dedah beliau.

Permohonan rasmi pertukaran nama parti itu dijangka dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) esok, untuk mendapatkan kelulusan.

Perkembangan itu turut menjawab persoalan mengenai platform politik yang akan digunakan Hamzah selepas beliau melancarkan Gerakan Reset Malaysia pada Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan pada 13 Jun lalu.

Pada konvensyen tersebut, Hamzah memperkenalkan Parti Wawasan Negara sebagai wadah politik baharu kepada Gerakan Reset Malaysia dan memaklumkan nama parti berkenaan dicadangkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Hamzah dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu susulan kemelut kepimpinan parti yang menyaksikan beliau dan 18 Ahli Parlimen lain meninggalkan parti tersebut.

Parti Wawasan Negara yang menggunakan warna merah, biru dan putih pada logonya kini dilihat mempunyai kekuatan awal apabila mendapat sokongan 19 Ahli Parlimen yang berpihak kepada Hamzah.

Pada majlis pelancaran sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir bersama Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, memberi isyarat kerjasama yang akan diteruskan bersama parti-parti yang sehaluan.

Dengan pindaan perlembagaan dan peralihan kepimpinan yang telah dimuktamadkan, Parti Wawasan Negara kini hanya menunggu kelulusan RoS sebelum menggerakkan jentera parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast