Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu.

KUALA LUMPUR – Op Cantas Bersepadu yang dilaksanakan bermula 18 Jun hingga 21 Jun 2026 berjaya menahan 349 orang atas pelbagai kesalahan jenayah.

Ini termasuk lima individu yang disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki (wanted person) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] (SOSMA) dan 34 orang dikehendaki bagi kes-kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sepanjang tempoh operasi dilancarkan, sebanyak 235 serbuan dan pemeriksaan dijalankan di lokasi sasaran seperti premis-premis perniagaan, kawasan kediaman dan tapak-tapak projek pembinaan.

Tambahnya, penahahan melibatkan 280 orang lelaki dan 69 wanita berumur lingkungan 20 hingga 83 tahun atas pelbagai kesalahan jenayah manakala 85 lagi terdiri daripada warga asing.

Menurut beliau, siasatan dijalankan merangkumi pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Peniaga Sekendhend 1946, Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi yang sama, sebanyak dua pusat hiburan yang diperiksa didapati telah beroperasi tanpa lesen hiburan, manakala 13 premis perniagaan dipercayai menggajikan pekerja warga asing tanpa pas / permit yang sah.

Tindakan kompaun juga telah dikeluarkan oleh pihak  berkuasa  tempatan   terhadap  pemilik perniagaan yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan lesen.

“Kejayaan operasi ini turut membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah, khususnya yang melibatkan aktiviti jenayah terancang bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain.

“Orang ramai diseru untuk konsisten menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah melalui saluran yang disediakan. kerjasama masyarakat merupakan elemen penting dalam memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Op Cantas Bersepadu dilaksanakan menerusi melalui sinergi strategik Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU), Bukit Aman dengan mensasarkan beberapa daerah di Selangor.

Bagi memperkukuh keberkesanan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu, operasi khas itu turut membabitkan kolaborasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.

Operasi turut memfokuskan tindakan mengesan dan menangkap individu disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki (wanted person).

Selain itu, operasi itu juga mensasarkan usaha mengesan kumpulan jenayah terancang yang dikenalpasti termasuk melumpuhkan sumber kewangan melalui  tindakan  penguatkuasaan. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast