KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi (MT) pada malam esok bagi membincangkan isu berkaitan keanggotaan gabungan itu.
Mesyuarat berkenaan dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam di ibu pejabat berdasarkan notis yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 18 Jun lalu.
Menerusi notis tersebut, Takiyuddin memaklumkan beliau diarahkan oleh Pengerusi PN supaya mengeluarkan notis memanggil mesyuarat tergempar mengikut Fasal 10 dan Fasal 12 Perlembagaan PN.
“Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.
“Adalah dimaklumkan saya diarahkan oleh Datuk Seri Pengerusi supaya mengeluarkan Notis memanggil Mesyuarat Tergempar berdasarkan Fasal 10 dan 12, Perlembagaan PN,” katanya dalam surat berkenaan.
Menurut beliau, agenda utama mesyuarat itu adalah berkaitan “Keanggotaan Perikatan Nasional”.
“Agenda: Keanggotaan Perikatan Nasional,” menurut notis tersebut.
Takiyuddin turut menjemput semua ahli Majlis Tertinggi PN menghadiri mesyuarat berkenaan dan menghargai kehadiran mereka.
Antara penerima notis tersebut ialah Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta beberapa pemimpin kanan lain termasuk Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sebelum ini, Takiyuddin berkata, sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan pengerusinya, Ahmad Samsuri.
Takiyuddin dalam satu kenyataan berkata, PN menerima maklum balas rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang mengesahkan perubahan kepimpinan gabungan tersebut.
Sebelum ini, tular Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu mengadakan mesyuarat MT PN, pada Jumaat malam.
Poster yang memaparkan gambar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijana kecerdasan buatan (AI) turut tular di media sosial.
Bagaimanapun, mesyuarat itu tidak berlaku sebagaimana desas-desus sebelum ini. – MalaysiaGazette
















