JOHOR BAHRU – UMNO Johor menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar suara dan keperluan serta menyegerakan kelulusan serta pelaksanaan projek-projek penting di negeri ini.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, isu kemudahan kesihatan, pendidikan, infrastruktur, jaringan jalan raya dan pelbagai projek strategik tidak seharusnya terus berdepan kelewatan.
Jelas beliau, keadaan tersebut akan menjejaskan kesejahteraan rakyat.
“UMNO Johor berpandangan bahawa perkara yang dibangkitkan berkaitan keperluan mempercepatkan pembangunan, memperkukuh autonomi pelaksanaan serta mengurangkan birokrasi yang melambatkan projek-projek rakyat wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan.
“Sebagai negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara, Johor berhak menerima perhatian dan sokongan yang setimpal bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Pemangku Sultan Johor menerusi Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor, semalam membangkitkan pengalaman baginda berdepan projek pembangunan Johor yang didakwa dilambatkan atau disekat oleh Putrajaya.
Baginda berkata, urusan asas seperti membaiki bumbung sekolah di Segamat, jalan rosak di Batu Pahat dan menaik taraf kemudahan hospital tidak sepatutnya mengambil masa terlalu lama hanya kerana perlu menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Tunku Mahkota Ismail turut membangkitkan isu kelewatan projek kesihatan, termasuk Hospital Pasir Gudang, kekurangan doktor dan kakitangan serta kelulusan Hospital Sultanah Aminah II yang masih belum dimuktamadkan.
Baginda bertitah, Hospital Pasir Gudang pernah berdepan risiko pembatalan sebelum baginda secara konsisten mendesak selama empat tahun supaya kemudahan itu disiapkan dan dibuka kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Md Israk berkata, UMNO Johor bersetuju dengan penegasan bahawa kepimpinan yang berkesan mesti berteraskan pelaksanaan dan penyelesaian, bukannya retorik semata-mata.
Rakyat katanya, perlu menilai kejayaan sesebuah kerajaan melalui hasil yang dapat dirasai, bukannya janji yang tidak diterjemahkan kepada tindakan.
Menurutnya, keutamaan mesti terus diberikan kepada penyelesaian masalah, pemantauan projek serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Johor menegaskan bahawa dalam berpolitik, Johor mempunyai acuan dan caranya yang tersendiri.
“Budaya politik Johor sentiasa meletakkan kepentingan negeri, kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat mengatasi polemik yang tidak membawa manfaat.
“Semoga semangat yang dizahirkan melalui titah Pemangku Sultan Johor terus menjadi panduan kepada semua pihak dalam memacu Johor ke arah masa depan yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.- MalaysiaGazette
















