MUAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menggunakan logo Bersatu sekiranya tidak mendapat kebenaran menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut akan diputuskan semasa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN esok di Kuala Lumpur.
Bekas Pengerusi PN itu berkata, ketetapan tersebut akan diputuskan secara konsensus dalam mesyuarat tersebut.
“Ada orang tanya saya apa logo nak pakai. Kita akan pakai logo PN (tapi) macam mana nak guna PN (guna logo). Kalau Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tak nak sign macam mana, (guna logo) PN kena ada watikah,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri di sini malam ini.
Turut hadir Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Muhyiddin berkata, Bersatu mempunyai ramai calon untuk diketengahkan dan parti perlu bertanding banyak kerusi supaya dapat menubuhkan kerajaan jika menang PRN Johor kali ini.
“Kalau 10 kerusi tidak cukup untuk jadi kerajaan, perlu ada 28 campur satu kerusi baru boleh jadi kerajaan,” katanya.
Pada 16 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu membuat keputusan kekal dalam PN dan akan menggunakan logo PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun esoknya, kenyataan itu disanggah Pas selain menyifatkan Muhyiddin sebagai gopoh.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik berkata, kuasa atau watikah berhubung penggunaan logo PN pada PRN perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.- MalaysiaGazette
















