JOHOR BAHRU – Industri perkayuan negara terus membuktikan kekuatannya sebagai antara sektor penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia apabila mencatat nilai eksport sebanyak RM22.92 bilion pada tahun 2025.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, produk berasaskan kayu seperti perabot kayu, papan lapis, kayu gergaji, kayu kumai, tanggam serta komponen binaan terus mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia.
“Prestasi kukuh industri itu turut disokong oleh jualan domestik yang mencatat nilai RM18.03 bilion, selain menarik pelaburan berjumlah RM229.8 juta serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 178,000 tenaga kerja di seluruh negara.
“Pencapaian ini jelas membuktikan industri kayu bukan sekadar sektor kecil, sebaliknya menjadi antara tonggak utama yang menyumbang kepada eksport negara, merancakkan ekonomi domestik serta membuka peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat.
“Di sebalik setiap produk kayu yang dieksport, terdapat sumbangan besar daripada pekerja kilang, pereka bentuk, pengusaha, pembekal, pemandu lori serta usahawan kecil yang menjadi tulang belakang industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapannya dalam Majlis Penutup Hari Kayu Sedunia 2026 di Galeri Glulam MTIB di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Larry Sng Wei Shien.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa dunia kini berdepan pelbagai cabaran global termasuk konflik geopolitik, perubahan iklim, tekanan kos logistik, kekurangan bahan mentah serta ketidaktentuan pasaran yang memberi kesan kepada rantaian bekalan antarabangsa.
Jelasnya, situasi tersebut mengajar bahawa sesebuah negara tidak boleh terlalu bergantung kepada rantaian bekalan luar semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh kekuatan industri tempatan bagi menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang.
Tambah beliau, industri kayu Malaysia berada pada kedudukan strategik kerana negara memiliki sumber semula jadi yang mencukupi, pemain industri berpengalaman, pusat latihan serta ekosistem lengkap yang mampu terus diperkasakan sebagai salah satu tunjang utama ekonomi negara pada masa hadapan.- MalaysiaGazette
















