JOHOR BAHRU – Pembahagian kerusi bagi 56 calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dilakukan secara adil mengiikut komposisi kaum di negeri ini.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan berkata, seramai empat calon India dinamakan sebagai calon berdasarkan peratusan komuniti India di dalam negeri ini.
“Kita ada empat calon India yang akan bertanding bawah logo Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor yang akan bermula tidak lama lagi.
“Saya rasa ini merupakan pembahagian yang adil, tak akan kita nak minta 20 kerusi pula? Tak masuk akal dan saya pasti dan yakin perkara sama akan dilakukan oleh parti lawan.
“Tak akan ada mana-mana parti yang beri lebih daripada empat kerusi, ini sudah dikira maksimum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot Madani dan Program Kalvi Madani di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Peringkat Kebangsaan di SJKT Jalan Yahya Awal di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh.
Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 56 calon gabungan PH bagi PRN Johor ke-16, yang terdiri daripada penyandang serta muka baru daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Daripada jumlah, empat merupakan calon India terdiri daripada C. Subramani (Bukit Kepong), Dr. Ruben Arumungum (Paloh), Guna Balakrishnan (Layang-layang) dan J. Kartiyaini (Skudai).
Menurut Ramanan, pengumuman calon itu bertepatan dengan ideologi politik Anwar yang berlandaskan prinsip parti dan hala tuju Kerajaan Madani.
“Seperti Perdana Menteri katakan, ini bukan isu politik perkauman, prinsip parti perlu jadi keutamaan,” ujarnya.
Ditanya mengenai Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor, Ramanan berseloroh tidak tahu tentang kewujudan parti itu.
“Bersama? Apa tu? Saya baru dapat tahu ada parti baru,” katanya. – MalaysiaGazette
















