TANGKAK – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu berlangsung adil dengan membiarkan persaingan antara parti politik tanpa perlu muncul ‘pihak’ lain yang tidak boleh dilawan Pakatan Harapan (PH), sekali gus mencemar amalan demokrasi di negara ini.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ‘campur tangan’ tersebut tidak boleh mengubah amalan demokrasi negara semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik atau individu tertentu.
Menurut beliau, sistem demokrasi negara perlu terus dipertahankan dengan memberi ruang kepada parti-parti politik bersaing secara sihat sama ada untuk membentuk kerajaan atau memainkan peranan sebagai pembangkang.
“Sama ada kita menang atau mereka kalah, itu bukan persoalannya. Yang penting pertandingan mesti berlaku antara parti dengan parti.
“Jangan ubah cara demokrasi negara. Biarlah parti-parti politik bergelut untuk memerintah atau menjadi pembangkang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir di sini, malam ini.
Turut hadir Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan, setiap parti komponen perlu menerima keputusan rundingan dan bekerja sebagai satu pasukan demi memastikan kemenangan gabungan.
Katanya, proses pembahagian kerusi bagi PRN Johor bukan sesuatu yang mudah, namun berjaya diselesaikan menerusi rundingan dan persefahaman antara parti-parti dalam PH.
Beliau turut mengingatkan bahawa calon daripada Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP perlu dibantu secara bersama tanpa mengira parti yang bertanding di sesuatu kawasan. – MalaysiaGazette
















