Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama calon-calon pada Pengumuman Calon Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Tangkak, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 JUN 2026.

PAKATAN Harapan (PH) menjadi gabungan kedua selepas Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang mengumumkan semua calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung 11 Julai ini.

Bezanya PH bertanding di semua 56 kerusi DUN manakala Bersama hanya mempertaruhkan 15 calon di kerusi-kerusi yang kebanyakannya disandang UMNO manakala selebihnya PH dan satu kerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Tidak ramai calon heavyweight atau tokoh politik berprofil tinggi daripada PH yang menjadi taruhan utama pada kali ini sebagai strategi utama untuk menang di kawasan ditandingi mereka.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding 20 kerusi sementara Parti Amanah Negara (Amanah) berjaya mendapat 19 kerusi manakala DAP pula 17 kerusi.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Anthony Loke Siew Fook ketika hadir pada Majlis Pegumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 JUN 2026.

Pengumuman calon yang dilakukan di Tangkak malam tadi secara tidak langsung menamatkan spekulasi dan khabar angin yang tular bahawa Pengerusi PKR  Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dikatakan bertanding di kerusi DUN Kempas.

Jika Ahli Parlimen Sekijang itu menang dalam PRN Johor pada 11 Julai ini, UMNO Johor mendakwa Zaliha akan dilantik sebagai calon Menteri Besar Johor daripada PH.

Bagaimanapun, bekas menteri, bekas Exco Kerajaan Johor, Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi parti masing-masing di peringkat negeri diutarakan sebagai calon dalam 56 calon PH yang diumumkan itu.

Ini termasuk bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dipilih sebagai calon kerusi DUN Puteri Wangsa yang merupakan antara kerusi panas pada kali ini.

Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sebelum ini disebut-sebut sebagai poster boy dan calon Menteri Besar Johor.

Selain itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor dicalonkan di kerusi DUN Larkin.

Turut membuat kejutan, Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain yang merebut kerusi DUN Mahkota yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO.

Selain itu, dua bekas Exco Kerajaan Johor semasa PH memerintah Johor selama 22 bulan iaitu Mohd Khuzzan Abu Bakar (DUN Semerah) dan Dzulkefly Ahmad (DUN Kota Iskandar) kembali mewakili kerusi masing-masing yang ditandingi sebelum ini.

Muka baharu iaitu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad bertanding di satu lagi kerusi panas iaitu DUN Kempas manakala dan Ketua Penerangan Parti PKR Johor, Mohd Fakharuddin Moslim CLcuba menerobos kubu kuat UMNO di DUN Pasir Raja.

Calon bagi DUN N01 Buloh Kasap, Noraziah Mohd Razit ketika diumumkan sebagai calon pada Majlis Pegumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 JUN 2026.

Menariknya juga kali ini, DAP mempertaruhkan dua calon Melayu buat pertama kali iaitu Nor Zulaila Abd Ghani di DUN Tiram dan Mohamad Shafwan Ani di DUN Bukit Permai yang kedua-duanya dikuasai UMNO ketika ini.

Bukan itu sahaja, Amanah Johor pula mempertaruhkan calon Cina, Sharon Teo atau Teo Siew Hui bagi kerusi DUN Permas yang merupakan bekas Penolong Setiausaha Amanah Johor dan bekas Ketua Wanita Amanah Negara (Warda) Johor.

Selain itu, PKR menurunkan empat calon India dan tiga daripadanya iaitu C Subramani (DUN Bukit Kepong), Dr Ruben Arumungum (DUN Paloh), Guna Balakrishnan (DUN) Layang-layang bertanding di kerusi tradisi UMNO dan MIC yang ramai pengundi Melayu.

Sementara J Kartiyaini mengambil alih kerusi DUN Skudai daripada DAP yang sebelum ini disandang Marina Ibrahim. Kerusi tersebut menjadi panas sebelum ini susulan Marina tidak lagi diletakkan di situ.

Reaksi Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat ketika diumumkan sebagai calon pada Majlis Pegumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 JUN 2026.

 

Sementara Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar pula kali ini mencuba nasib di kerusi DUN Senggarang manakala kerusi DUN Bukit Batu yang pernah kontroversi selepas PRN Johor pada 2022 sekali lagi ditandingi Arthur Chiong Sen Sern.

Pembahagian kerusi dilihat berjalan lancar terutama kerusi-kerusi panas seperti DUN Puteri Wangsa yang menjadi pertikaian serta rebutan sebelum ini antara PKR dan Amanah sehingga berbalas komen.

Tiada poster boy diumumkan malam tadi seperti yang diramal banyak pihak selepas isu tersebut menjadi polemik antara dua musuh politik tradisi antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

Kedua-dua parti dapat menyelesaikan pertikaian kerusi itu secara matang kerana sedar perkara yang lebih utama adalah memenangi DUN Puteri Wangsa selepas sebelum ini ‘dipinjamkan’ kepada MUDA.

Juga tiada bekas menteri, bekas timbalan menteri atau pempengaruh diumumkan menjadi calon PKR seperti yang tular sebelum ini dalam media sosial.

Gelagat calon bagi DUN N41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik ketika diumumkan sebagai calon pada Majlis Pegumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 JUN 2026.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengumumkan semua calon gabungan itu dalam ucapannya mengingatkan bahawa PRN Johor perlu ada batasanya dan tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana pihak termasuk institusi diraja.

Perdana Menteri berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, setiap pihak perlu memahami batas peranan masing-masing dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan salah faham politik.

“Saya nak nasihatkan biar PRN ini PRN antara parti. Jangan kaitkan (dengan pihak lain),” ujarnya dan jika tidak bersetuju terhadap satu-satu perkara boleh dirundingkan dengan baik dan dijelaskan.

Penegasan Anwar itu adalah satu kenyataan berani yang wajar dipuji, dibuat secara beradab dan berhati-hati supaya tidak disalahertikan atau diputar belit menjadi isu atau disifatkan sebagai penderhakaan sedangkan bukan begitu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pegumuman Calon Pakatan Harapan PRN Johor ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 JUN 2026.

Adalah tepat sekali untuk mana-mana tidak tidak mencampuri PRN Johor dan tahu batasannya kerana bimbang akan menjadi sasaran kritikan, sekali gus mencemari institusi diraja.

Biarkan parti-parti politik yang terlibat bertempur secara adil dan bermaruah mengikut kemampuan masing-masing dalam gelanggang yang sama ‘rata’ dan sama luas, bukan di belakangnya ada pencaturnya untuk kepentingan.

Memberi sokongan atau teguran terhadap mana-mana perkara tidak tidak salah tetapi perlu kena pada tempatnya.

Biarkan rakyat yang membuat keputusan sama ada mahu kekal kerajaan sedia ada atau mahukan kerajaan baharu, ini kerana semasa pilihan raya mereka adalah ‘raja’.

‘Raja’ yang akan menentukan atau menjatuhkan siapa yang akan terus dimuliakan di tampuk singgahsana kuasa dan siapa akan dihumban daripada tampuk kuasa.

Pilihan di tangan mereka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast