JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor Bahru mendesak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang diserahkan kepada UMNO untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah War Room BN Johor Bahru, Muhammad Haris Hamzah mendakwa, desakan tersebut datang daripada kepimpinan akar umbi dan jentera BN Johor Bahru.
“Tuntutan ini dibuat selepas meneliti sentimen semasa pengundi dan pandangan akar umbi termasuk Ketua-Ketua Cawangan, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta sayap parti di kawasan berkenaan.
“Penilaian semula pembahagian kerusi itu perlu dilakukan secara objektif memandangkan MCA telah gagal mempertahankan atau merampas semula DUN Stulang dalam tiga pilihan raya berturut-turut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut turut disokong bersama-sama oleh Ketua-Ketua Cawangan UMNO, Ketua-Ketua PDM BN, dan Ketua-Ketua Sayap Cawangan UMNO dalam DUN Stulang.
Beliau berkata, maklum balas diterima menunjukkan keinginan jelas rakyat untuk melihat kepimpinan yang lebih dekat, aktif di lapangan dan konsisten menyelesaikan isu masyarakat.
Pada masa sama katanya, kekuatan jentera MCA di Stulang dilihat semakin terhad dan tidak lagi mampu meyakinkan pengundi untuk kembali menyokong BN.
Muhammad Haris menjelaskan, UMNO Johor Bahru mempunyai kelebihan kerana memiliki rangkaian akar umbi yang kukuh, jentera aktif serta kepimpinan tempatan yang sentiasa mendampingi masyarakat berbilang kaum.
Ujarnya, asas kekuatan itu yang memberi keyakinan bahawa UMNO mampu mengembalikan semula kerusi tradisi tersebut kepada komponen BN.
Justeru, beliau meminta pucuk pimpinan tertinggi BN dan UMNO Johor agar mengetepikan tradisi lama pembahagian kerusi, sebaliknya membuat keputusan berdasarkan faktor kebolehmenangan calon.
“Jika matlamat utama adalah kemenangan, maka keputusan yang dibuat mestilah berpaksikan kepada formula yang paling berpotensi untuk menang.
“Justeru, kami menggesa kepimpinan BN dan UMNO Johor mempertimbangkan secara serius hasrat akar umbi ini demi memperkukuhkan peluang kemenangan parti dan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik,” ujarnya.- MalaysiaGazete
















