KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bersabar susulan pandangan terkini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkenaan mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pililhan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan apa yang sedang dihadapi Mohd Puad itu sebagai satu cabaran dalam perjuangan.
Menurutnya, Mohd Puad pastinya mengetahui bahawa politik ibarat satu larian maraton yang panjang, bukan larian 100 meter.
“Saya menjadi calon Parlimen Pontian ketika berumur 42 tahun, setelah menjawat pelbagai jawatan termasuk SUSK Timbalan Menteri Kewangan, Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Usahawan, CEO Yayasan Restu dan Pengarah Seranta Felda, JPM.
“Saya bermula di Victoria University, Wellington, New Zealand sebagai Pengerusi Kelab UMNO ketika berumur 20 tahun. Selama 22 tahun setia dan gigih berjuang baru dapat jadi calon. Saya memahami mengenai larian marathon politik, 42.2 km (semacam umur saya 42 tahun baru jadi calon),” katanya menerusi Facebook hari ini.
Tambahnya, beliau yakin Mohd Puad akan membuat keputusan yang terbaik demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air (ABATA).
“Ayuh kita membantu berkempen membantu calon-calon BN di PRN Johor ini,” katanya.
Terdahulu, Mohd Puad memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini susulan perkembangan terkini dalam UMNO Johor yang disifatkannya membimbangkan.
Beliau berkata, terdapat perkara yang `tidak kena’ kepada UMNO Johor selepas meneliti senarai calon BN yang akan diumumkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Mohd Puad bagaimanapun tidak memperincikan perkara yang dimaksudkan dalam kenyataannya itu namun menegaskan orang muda terlatih dan berpendidikan seharusnya diberi peluang pada PRN kali ini.
Mohd Puad sebelum ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan DUN Rengit pada PRN Johor kali ini.
Bagaimanapun, laporan media yang memetik sumber menyebut syarat Mohd Puad untuk berundur adalah bagi memberi laluan kepada anaknya dicalonkan sebagai ADUN, namun beliau enggan mengesahkan berhubung dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette
















