Haini Harun dan kepimpinan Amanah Kawasan Pasir Gudang membantah pencalonan Sharon Teo, dalam sidang akhbar di Taman Cendana to Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Pasir Gudang menolak pencalonan Sharon Teo yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Penolong Setiausaha Amanah Kawasan Pasir Gudang, Haini Harun berkata, pihaknya akan memboikot dan tidak akan menyokong Sharon Teo yang disifatkan sebagai calon ‘payung terjun’.

“Keputusan memboikot calon berkenaan dibuat bersama kempimpinan Amanah kawasan selain menyatakan pendirian menyokong Ketua Amanah Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah untuk bertanding di kawasan berkenaan.

“Keputusan menamakan calon luar sudah kami dengar sejak Mei lalu dan surat bantahan sudah diserahkan kepada kepimpinan negeri dan pusat, namun tiada maklum balas yang kami terima.

“Bagaimanapun, kepimpinan parti tetap memilih calon payung terjun ini yang bukan sahaja tidak dikenali oleh jentera Amanah di kawasan ini malah juga pengundi di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Cendana di sini hari ini.

Haini berkata, ini bukan kali pertama Syed Othman diketepikan sebagai calon di kawasan sama apabila turut memberi laluan kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN-14.

Katanya, keputusan kepimpinan pusat meletakkan calon wanita Cina di kawasan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan peluang Amanah untuk menang pada PRN kali ini.

“Jumlah pengundi Melayu di sini adalah sebanyak 56 peratus. Selain itu sentimen negatif pengundi Melayu terhadap parti DAP juga masih kuat dan dibimbangi akan dikaitkan dengan calon berkenaan meskipun bertanding untuk Amanah.

“Justeru itu, jentera Amanah Kawasan Pasir Gudang tidak akan membantu calon ini tetapi tidak menghalang jentera calon itu untuk berkempen,” katanya.

Terdahulu, Sharon Teo diumumkan bertanding di kerusi berkenaan pada Majlis Pengumuman Calon PH oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Bukit Gambir, Tangkak Isnin lalu.

Beliau yang pernah menjadi memegang jawatan Penolong Setiausaha Amanah Johor dan Ketua Wanita Muda Amanah (WARDA) Johor itu juga merupakan satu-satunya calon bukan Islam dan bukan Melayu yang mewakili parti berkenaan.

Sharon Teo yang merupakan anak didik bekas Timbalan Presiden Amanah, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pencalonannya menepati konsep rahmatan lil alamin iaitu Islam adalah rahmat untuk semua.

Pada PRN 2022, kerusi DUN Permas dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Baharudin Mohamed Taib dengan majoriti 7,926 undi membabitkan pertandingan lima penjuru.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast