MUAR – Walaupun menyedari bakal berhadapan tugas getir merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun demi amanah yang diberikan tetap akan dihadapi dengan menggembelengkan keseluruhan pasukan untuk meraih sokongan pengundi.
Itulah tekad, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail selepas namanya dicalonkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan dengan penyandang kerusi DUN itu daripada Parti Amanah Negara (Amanah). Ir Nazeri Abdul Rahman.
Menurut Azman, keyakinan mampu untuk merampas kerusi DUN Simpang Jeram itu berlandaskan kepada penerimaan masyarakat di sini selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram pada September 2023 lalu.
Jelas beliau, secara hakikatnya ketika PRK Simpang Jeram itu, kemenangan Nazeri adalah hasil sokongan ahli-ahli UMNO yang pada ketika itu memberi laluan kepada parti Amanah berlandaskan kesepakatan kerajaan perpaduan di peringkat Pusat.
Dakwanya, selain itu gerak kerja mendekati keseluruhan masyarakat yang tidak pernah putus sejak Mac 2022 membolehkan UMNO diterima ramai sama ada kawan atau lawan dan secara tidak langsung meningkatkan sokongan kepadanya.
“Menyebut tentang persediaan, UMNO Bahagian Bakri sudah pun melakukannya sejak dari awal lagi dan dilaksanakan bukan hanya pada musim pilihan raya seperti sesetengah pihak.
“Apa yang cuba dilaksanakan ketika ini adalah melengkapkan pembangunan sedia ada dengan menyelesaikan pelbagai masalah yang masih mengongkong kehidupan rakyat di Simlang Jeram,” katanya ketika ditemui.
Azman berkata, satu manfaat yang akan dibawa untuk masyarakat Simpang Jeram khasnya adalah kira-kira 40,000 peluang pekerjaan melalui Maharani Energy Gateway apabila beroperasi sepenuhnya nanti.
“Untuk itu, saya akan menggandakan usaha untuk merampas DUN Simpang Jeram dan membawa pembangunan negeri Johor untuk dinikmati oleh masyarakat disini,” katanya.
Menurutnya lagi, untuk PRN Johor ini, DUN Simpang Jeram dijangka akan berhadapan dengan saingan antara empat atau lima penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Ananah (PH), Pas, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama). – MalaysiaGazette
















