MUAR – Pas Johor kali ini menampilkan sembilan muka baharu daripada 11 calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kebanyakan calon berkenaan mempunyai latar belakang berbeza dan memiliki pelbagai pengalaman.
“Ada calon yang pernah bertanding sebelum ini namun bertanding di kerusi yang berbeza pada kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Yang Mewakili Perikatan Nasional Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Laman Muafakat di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Penerangan PN merangkap Pengarah PRN Johor Ke-16, Tan Sri Annuar Musa dan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Seramai sembilan calon lelaki dan dua calon wanita berusia antara 30 hingga 61 tahun menjadi taruhan Pas Johor pada kali ini.
Ditanya jumlah kerusi ditandingi kali ini hanya 11 berbanding 15 kerusi pada pilihan raya terdahulu, Samsuri berkata, Pas sudah membuat pertimbangan sebelum meletakan calon.
Jelasnya, keputusan untuk bertanding dibuat berdasarkan kesesuaian dan potensi kawasan yang ditandingi berbeza dengan senario empat atau lima tahun lalu.
Beliau memberitahu, Pas Johor akan menggunakan logo PN untuk berkempen dan begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ditanya sama ada pengundi akan keliru apabila Pas dan Bersatu menggunakan logo yang sama, beliau menafikan perkara tersebut.
Berikut adalah senarai calon Pas Johor yang akan bertanding dalam PRN Johor
DUN Jementah-Saifullah Abdul Wahab
DUN Tenang-Normala Sudirman
DUN Simpang Jeram – Arshed Yahya@Awang
DUN Maharani – Mohamad Anuar Hayan
DUN Sungai Balang – Muhammad Amin Sailan
DUN Semerah-Halim Kepol
DUN Seri Medan – Ahmad Rosdi Baharu
DUN Endau – Hasnol Hakim Hussein
DUN Pasir Raja – Yuhanita Yunan
DUN Tiram – Khirul Mutanazar Ismail
DUN Kahang – Mazlan Bujang – MalaysiaGazette
















