KLUANG – Keputusan meletakkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan satu keputusan tepat.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Mohd Hafiz Mohd Rais berkata, Syed Hussien yang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada September 2024 dengan memperolehi undi 27,995 berbanding lawannya Mohamad Haizan 7,347 undi dianggap mempunyai banyak kelebihan untuk berhadapan dengan lawan dalam PRN ke 16 ini.
Katanya, kelebihan dimiliki Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu yang boleh berbahasa Mandarin dengan fasih juga dilihat sebagai satu aset penting bagi memudahkannya mendekati masyarakat Cina dalam kawasan Mahkota.
Sebagai individu yang sentiasa berdampingan dengan ketuanya itu, beliau amat mengenali Syed Hussien sepanjang menjawat sebagai ketua pemuda dan wakil rakyat walaupun hanya dalam tempoh 20 bulan bermula September 2024 lalu.
“Sebagai pemimpin muda, Syed Hussien dilihat mempunyai wawasan tersendiri untuk dibawa ke dalam DUN Mahkota khususnya dalam aspek kebajikan dan pembangunan generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan masa hadapan.
“Oleh yang demikian, calon yang diketengahkan oleh BN ini seharusnya diberikan peluang untuk beliau meneruskan agenda pembangunan anak muda tanpa meninggalkan kepentingan golongan berusia,” katanya kepada pemberita.
Menurut Mohd Hafiz, pihaknya akan menggembelengkan keseluruhan kekuatan Pemuda UMNO Bahagian Kluang untuk menggerakkan kempen dan kerja-kerja menawan pengundi muda dalam kawasan Mahkota sebaik selepas penamaan calon pada Sabtu ini.
“Saya juga berharap semua sayap parti samada wanita dan puteri sama-sama berganding bahu bagi memastikan BN menjadi pilihan pengundi di Mahkota ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















