BATU PAHAT – Tiada lagi projek sakit dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya yang terbengkalai pembinaannya sejak 2008 disambung semula pada 2023.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkata, berikutan itu, seramai kira-kira 200 pelajar tingkatan 1 dan 2 akan menjadi yang terawal ditempatkan ke sekolah berkenaan pada 7 September ini.
“Sekolah tersebut akan dibuka sepenuhnya untuk menempatkan 1,200 pelajar bermula Januari tahun hadapan dan melibatkan 180 guru serta kakitangan pentadbiran.
“Pembukaan operasi sepenuhnya ini akan memanfaatkan pelajar yang tinggal di sekitar Parit Yaani, Sri Medan dan Yong Peng.

“Turut berjaya diselesaikan Jalan Tan Sri Mohamad yang menghubungkan Peserai ke Parit Jalil sejauh 7.2 kilometer yang untuk laluan orang ramai pada Disember 2025.
“Jalan tersebut terbengkalai ketika berlaku pandemik Covid- 19 pada tahun 2020 sebelum disambung pembinaan pada 2023,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Najib, dengan kejayaan ini janji untuk menyelesaikan kedua-dua projek sakit ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 15 pada 2022 lalu berjaya ditunaikan.
“Juga diumumkan bahawa Jalan Panchor (Parit Salleh) kini ditukar nama kepada Jalan Kampung Beroleh bermula 10 Februari lalu,” katanya.- MalaysiaGazette
















