Dr S Saswin

JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar mengenai kemenangan kerusi tetapi tentang membawa perubahan dan membina kepimpinan yang berintegriti.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Dr S Saswin berkata, PRN tersebut juga bagi memastikan suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Johor berkata, partinya turut meletakkkan lima calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Kota Iskandar, Paloh, Pemanis dan Permas.

“Hari ini merupakan satu detik yang bersejarah apabila proses penamaan calon telah selesai dengan jayanya. Dengan ini, MIPP Johor di bawah panji PN secara rasmi memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN ) Johor secara besar-besaran.

“Kami juga berbangga kerana memberi keutamaan kepada penyertaan wanita dengan menampilkan dua calon wanita dan lebih membanggakan lagi, seorang daripada mereka baru berusia 27 tahun, mewakili suara serta aspirasi Generasi Z.

“Ini membuktikan komitmen MIPP dalam melahirkan barisan kepimpinan yang muda, berkualiti dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sejurus selesai proses penamaan calon hari ini, jentera kempen akan bergerak sepenuhnya.

Katanya, MIPP bersama-sama Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan turun ke setiap pelusuk kawasan untuk bertemu rakyat, mendengar suara mereka dan menawarkan penyelesaian demi masa depan Johor yang lebih baik.

“Sebagai Pengerusi MIPP Johor, saya memberi komitmen penuh untuk berdiri teguh bersama kelima-lima calon ini sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Beliau akan memastikan seluruh jentera MIPP Johor digerakkan secara maksimum bagi membantu calon mencapai kemenangan di kelima-lima kerusi yang ditandingi.

“Saya menyeru seluruh rakyat Johor agar memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional dan calon-calon MIPP.

“Marilah kita bersama-sama mencipta sejarah dan membawa Johor ke arah masa depan yang lebih stabil, bersih dan sejahtera,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast