Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo bersama Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching ketika melancarkan Pusat Operasi Utama Pakatan Harapan bagi kerusi N.50 Bukit Permai di Bandar Putra IOI, Kulai. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

KULAI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah sengit apabila banyak parti bertanding termasuk faktor Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mendakwa, penglibatan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bertanding hanya untu ‘mengganggu’ undi.

Jelasnya, pendekatan tersebut sebenarnya adalah untuk memberi kelebihan kepada BN menang serta terus berkuasa menjadi kerajaan negeri selepas PRN Johor nanti.

“Bila BN isytihar tanding 56 kerusi, PH pun sama tapi Perikatan Nasional (PN) tanding 33 sahaja kerusi. Ini menunjukkan ada satu isyarat untuk gagalkan hasrat untuk buat perubahan di Johor.

“(Perubahan yang mahu dilaksanakan) bukan daripada PH tapi rakyat yang sudah putus harapan terhadap kerajaan Johor. Jadi rakyat Johor perlu gunakan kebijaksanaan dalam percaturan,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Pelancaran Pusat Operasi Utama (POU) Pakatan Harapan (PH) N50 DUN Bukit Permai di Bandar Putra IOI, di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching; calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sern Sen dan calon DUN Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani.

Mahfuz berkata, rakyat Johor berani dan pernah membuat perubahan dalam pilihan raya pada pada 2018 apabila berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya.

Dakwa beliau, sekiranya rakyat tersalah percaturan kali ini akan mengembalikan kerajaan kleptokrasi sekali gus merugikan negeri.

Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, Mohamad Shafwan adalah calon pertama Melayu yang diletakkan DAP untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Permai.

Menurutnya, Mohamad Shafwan sudah sembilan tahun berkhidmat dengannya di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kulai dan yakin mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya menang.

Justeru, beliau mahu pengundi yang berada di luar negeri seperti mereka yang bekerja di Singapura untuk balik mengundi pada 11 Julai ini dan memberi kemenangan kepada calon PH.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Gobind Singh, Mahfuz dan Nie Ching dalam Pelancaran Pusat Operasi Utama (POU) Pakatan Harapan (PH) N50 DUN Bukit Permai di Bandar Putra IOI, di Kulai malam ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast