Danial Asri. Foto FB Kuching City FC.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain Kuching City FC, Danial Asri menjadi pemain terbaru menyertai DPMM FC untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan dalam mengembangkan karier bola sepaknya.

Kehadiran pemain sayap berusia 26 tahun itu diumumkan pengurusan DPMM menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan berkenaan

“DPMM FC telah menandatangani pemain sayap Malaysia, Danial Asri dari Kuching City FC. Danial merupakan pemain utama untuk pasukan naib juara Liga Super itu di belakang Johor Darul Ta’zim.

“Beliau turut menjaringkan lapan gol sepanjang musim tersebut dan ini merupakan satu pembelian yang amat baik buat kelab,” kata DPMM FC.

Musim lalu, Danial merekodkan 32 penampilan dengan lapan gol dan empat bantuan gol dalam semua kejohanan selepas menyertai Kuching City dari Selangor FC.

Sepanjang penampilannya, Danial berjaya membantu The Cats muncul naib juara Piala Malaysia dan layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sebagai naib juara liga Liga Super.

Sementara itu, bagi memperkuatkan pintu gawang, DPMM FC membawa masuk bekas penjaga gol Selangor FC, Samuel Summerville dan bekas pertahanan Imigresen FC, Nick Swirad.

DPMM FC juga mengesahkan bekas pertahanan yang juga kapten Dundee FC, Clark Robertson telah bersetuju untuk menyertai pasukan itu bagi kempen musim 2026/2027. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast