RENGGAM – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang, Guna Balakrishnan memilih untuk meletakkan fokus sepenuhnya terhadap gerak kerja sendiri berbanding mengulas mengenai pesaingnya.
Meskipun berdepan persaingan sengit tiga penjuru, termasuk menentang penyandang kerusi yang telah bertindak melompat parti, Guna menegaskan beliau tidak mahu membiarkan fokusnya terganggu dengan naratif politik pihak lain.
“Sebenarnya saya tak nak komen pasal orang lain.
“Saya hanya mahu fokus pada kerja saya dan akan terus bergerak ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni masyarakat setempat di sekitar Renggam, hari ini.

Katanya, apa juga yang dilakukan adalah untuk mendapat sokongan pengundi untuk memberi keyakinan pada PH dan memenangkanya pada 11 Julai ini.
“Momentum berkempen ini sangat optimis apatah lagi melihat penerimaan yang sangat baik daripada penduduk tempatan.
“Setakat ini, respons mereka amat positif dan sangat menyokong. Saya sudah berjumpa dengan pengundi di Renggam dan semuanya memberikan maklum balas yang baik,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sesi walkabout di kawasan pekan Renggam hari ini.
Jelasnya, keyakinan itu diharap dapat diterjemah pada peti undi akan datang.
“Ramai yang mengadu mengenai keadaan di sini. Saya ambil maklum dan cuba melakukan yang terbaik untuk penduduk di sini.
“Selain itu, keyakinan saya bertambah tinggi dengan kehadiran sahabat-sahabat dari jauh dan dekat membantu kempen saya, ini membuatkan saya amat yakin untuk memenangi DUN Layang-Layang,” ujarnya dengan nada penuh semangat.

Menyedari tempoh berkempen memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi, Guna sempat berkongsi rahsia mengekalkan stamina agar kekal bertenaga untuk bergerak dari pagi hingga malam.
“Selain menjaga kesihatan dengan bekalan suplemen dan air mineral secukupnya, kehadiran ‘tulang belakang’ atau penyokong moral di sisi saya menjadi penguat semangat saya.
“Anda sendiri boleh lihat, pemimpin negeri dan Pusat yang sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk saya.
“Kehadiran mereka memberi impak positif untuk saya terus berkempen dan melakukan yang terbaik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Guna turut menitipkan harapan tinggi agar momentum sokongan ini dapat diterjemahkan ke dalam bentuk undi pada hari penentuan nanti.
“Saya amat berharap penduduk-penduduk di Renggam ini dapat keluar beramai-ramai mengundi pada 11 Julai 2026 nanti dan memberikan undi kepada calon nombor satu daripada Pakatan Harapan,” katanya.- MalaysiaGazette
















