Arthur Chiong bertemu orang ramai semasa berkempen di Taman Sri Kulai Baru, Kulai hari ini.

KULAI – Pakatan Harapan (PH) tidak bergantung dengan peratusan tinggi atau rendah jumlah pengundi untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon PH kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern berkata, tiada jalan pintas sebaliknya kunci kejayaan adalah bekerja keras mendekati rakyat dan memberi penerangan kepada mereka.

Justeru Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kulai itu mempersoalkan dakwaan 400,000 pengundi tegar PH boleh menentukan kemenangan gabungan tersebut jika mereka keluar mengundi pada PRN tersebut.

“Saya tidak tahu apa fakta dan analisis siapa yang cakap seperti ini, saya sebelum ini belum pernah dengar lagi berkenaan dakwan ini.

“Kalau sesiapa yang cakap tentang ini, dia kena bagi fakta dan analisis untuk membutktikannya,” katanya yang juga Penyandang kerusi DUN Bukit Batu.

Arthur Chiong bertemu peniaga menyampaikan risalah kepada mereka semasa berkempen untuk DUN Bukit Batu

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen dan menyampaikan risalah di Taman Sri Kulai Baru di sini hari ini.

Terdahulu bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Abdul Jalil dalam hantaran Facebook miliknya semalam mendakwa, terdapat 400,000 pengundi PH yang tidak keluar mengundi dalam PRN Johor pada 2022.

Dakwa bekas Ketua Penerangan UMNO itu lagi, keadaan tersebut menyumbang kepada kemenangan UMNO dalam PRN tersebut dengan mendapat 40 kerusi.

Namun katanya, sekiranya mereka keluar mengundi pada PRN Johor kali ini seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, BN berisiko kalah.

Arthur Chiong menunjukkan isyarat jari empat sebagai simbolik nombor calon pencalonannya di DUN Bukit Batu

Mengulas lanjut, Arthur tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa 400,000 pengundi PH itu adalah penentu kemenangan PH di negeri ini termasuk di Bukit Batu.

Katanya, setiap parti tidak mengetahui siapa yang akan pengundi pilih tetapi bagi PH, jentera sudah bergerak sejak sebelum hari penamaan calon pada Sabtu lalu.

“Apa yang penting jentera kita perlu bergerak turun padang santuni rakyat seramai yang boleh, selain juga berkempen secara dalam talian.

“Kita walkabout bertemu orang ramai dan pada masa sama buat video untuk santuni gen Z dan belia kerana di Bukit Batu orang muda melebihi 50 peratus,” katanya.

Sehubungan itu katanya, penting untuk jentera PH menyampaikan mesej kepada belia dan semua lapisan masyarakat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast