KUALA LUMPUR – Kewujudan web dalam kalangan perniagaan terus mengukuh pada tahun 2024 apabila 74.4 peratus pertubuhan melaporkan mempunyai kehadiran dalam talian berbanding 72.7 peratus pada tahun 2023.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, media sosial kekal sebagai platform yang paling banyak digunakan dengan kadar penggunaan sebanyak 80.3 peratus, diikuti laman web milik sendiri (58.7%), e-pasaran (44.1%) dan laman web di entiti lain (38.0%).

Laporan tersebut turut menyatakan 97.2 peratus perniagaan menggunakan komputer manakala 95.3 peratus mempunyai capaian internet pada tahun 2024.

Menurutnya, infrastruktur digital yang kukuh ini turut disokong oleh kadar penembusan internet yang tinggi, dengan penggunaan jalur lebar tetap kekal dominan pada kadar 94.0 peratus manakala jalur lebar mudah alih mencapai 79.8 peratus.

“Rangkaian Kawasan Luas (WAN) kekal sebagai rangkaian yang paling banyak digunakan dengan kadar penggunaan 89.4 peratus, diikuti oleh Rangkaian Kawasan Setempat (LAN) (77.5%) dan Rangkaian Kawasan Setempat Tanpa Wayar (WLAN) (71.8%),” katanya.

Prestasi ini menunjukkan perniagaan semakin bergantung kepada sistem digital bersepadu untuk mempertingkatkan kecekapan operasi dan komunikasi,” tambah Jabatan Perangkaan Malaysia.

Selain itu, penggunaan intranet dan extranet masing-masing mencapai 53.1 peratus dan 26.2 peratus yang menggambarkan usaha perniagaan untuk memperkukuh kerjasama dalaman serta memperluaskan hubungan dengan pelanggan, pembekal dan rakan niaga.

Pendapatan e-dagang Malaysia juga meningkat sebanyak 8.8 peratus kepada RM1.29 trilion pada tahun 2024 berbanding RM1.18 trilion pada tahun sebelumnya.

Manakala perbelanjaan e-dagang turut berkembang seiring dengan peningkatan pendapatan, dengan pertumbuhan sebanyak 9.4 peratus kepada RM625.3 bilion pada tahun 2024.

Jabatan itu berkata, pertumbuhan berterusan pendapatan e-dagang mencerminkan perkembangan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast