JOHOR BAHRU – Tuduhan DAP bahawa Barisan Nasional (BN) semakin lemah hanya naratif politik yang tidak berasaskan fakta.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, dakwaan tersebut langsung tidak mencerminkan realiti sebenar yang sedang berlaku di akar umbi.
“Momentum rakyat Johor hari ini jelas bersama Barisan Nasional. Gelombang Biru telah mula dirasai di seluruh negeri.
“Rakyat Johor mahukan kesinambungan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mempunyai rekod pencapaian yang terbukti, bukannya politik persepsi yang hanya menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen, sambutan yang diterima BN daripada rakyat adalah positif malah semakin meyakinkan bahawa mereka mahu mengekalkan kepimpinan sedia ada untuk meneruskan agenda pembangunan Johor.
Rakyat katanya, menilai berdasarkan prestasi dan bukan propaganda.
DAP katanya, bebas untuk terus mencipta persepsi dalam media sosial atau mengeluarkan pelbagai ramalan politik.
“Namun perlu diingat, rakyat Johor cukup matang untuk membezakan antara mereka yang hanya pandai mencipta naratif dengan mereka yang benar-benar bekerja dan memberikan yang terbaik untuk negeri ini,” ujarnya.
Pada hari pengundian nanti katanya, rakyat Johor sendiri akan menghantar isyarat yang paling jelas kepada Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Isyarat itu ujarnya, adalah Gelombang Biru yang akan memastikan Johor terus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan diyakini rakyat.
“Hakikatnya, ketika kami sedang turun padang bertemu rakyat, mendengar denyut nadi mereka dan membawa tawaran untuk masa depan Johor, DAP pula terus sibuk berkempen dengan mencipta persepsi serta memainkan sentimen politik,” ujarnya.
Semalam, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong mendakwa BN Johor kini sudah goyang dengan perkembangan politik di negeri tersebut ketika ini sekali gus menyukarkannya untuk mendapat lebih 40 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
“Pada 1 Jun lalu (semasa Dewan Undangan Negeri dibubarkan) pada masa itu BN yakin boleh menang 45 hingga 48 kerusi. Sekarang sudah goyang kerana (jangkaan menang PRN Johor) kurang daripada 40 kerusi.Kita tunggu apa lagi akan berlaku selepas ini,” ujar Chin Tong.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah semalam dilaporkan berkata, beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan kepimpinan BN Johor kononnya sudah mengadakan mesyuarat tergempar susulan ramalan hanya mampu memenangi sekitar 30 kerusi PRN Johor.
Penyandang kerusi DUN Larkin itu mendakwa tidak dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan percaya hanya pucuk kepimpinan tertinggi parti mengetahui mengenainya.
Dakwaan mengenai mesyuarat itu tercetus susulan spekulasi BN sedang menilai semula strategi kempen selepas kajian dalaman didakwa menunjukkan gabungan itu hanya berpotensi memenangi sekitar 30 kerusi DUN.- MalaysiaGazette
















