Datuk Seri Rafizi Ramli mengadakan sidang akhbar berkenaan tawaran Bersama dalam PRN Johor di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) memperkenalkan inisiatif ‘jemput calon’ yang membolehkan pengundi menjemput sendiri calon daripada parti tersebut hadir ke rumah atau premis mereka untuk sesi dialog dan soal jawab.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendekatan itu bertujuan mengubah budaya kempen politik yang selama ini terlalu bergantung kepada penganjuran program berskala besar dan menelan kos tinggi.

“Calon yang meminta mandat daripada rakyat seharusnya hadir memenuhi jemputan pengundi, bukannya sekadar mengharapkan orang ramai hadir ke majlis yang dianjurkan parti.

“Dalam lebih 20 tahun saya berkempen, saya tidak pernah melihat kaedah seperti ini dibuat. Kita mahu ubah cara berkempen. Yang meminta undi ialah calon, jadi biarlah rakyat pula memanggil calon untuk dinilai dan disoal,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Sri Tebrau di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah itu bukan sahaja bantu kurangkan perbelanjaan kempen, tetapi turut melatih calon belajar dan bertemu penduduk setempat.

“Kita tidak mahu calon ‘chipsmore’, masa bertanding jumpa semua, salam semua, tetapi lepas menang hilang,” ujar bekas Menteri Ekonomi tersebut.

Beliau berkata, kemudahan itu terbuka kepada semua pihak termasuk persatuan penduduk, persatuan komuniti, jawatankuasa kawasan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun sekumpulan jiran yang ingin mengenali calon dengan lebih dekat.

Ujarnya, pengundi hanya perlu melayari laman layaribersama.org, memilih profil calon PRN Johor 2026 dan menekan butang ‘Jemput Calon Ini’ sebelum mengisi maklumat seperti nama, nombor telefon, e-mel serta lokasi pertemuan.

“Sama ada persatuan penduduk atau sekumpulan jiran empat atau lima buah rumah, semua boleh menjemput calon hadir ke rumah atau premis mereka untuk sesi suai kenal dan soal jawab,” katanya.- MalaysiaGazette

Datuk Seri Rafizi Ramli mengadakan sidang akhbar berkenaan tawaran Bersama dalam PRN Johor di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast