KULAI – Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern akan memastikan hak dan kepentingan penduduk setempat tidak diabaikan walaupun menerima pelaburan asing.
Penyandang kerusi DUN Bukit Batu itu memberi jaminan tersebut supaya setiap pelaburan dan pembangunan di daerah ini akan turut dirasai penduduknya.
“Kita akan kekalkan hak-hak rakyat walaupun menerima banyak pelaburan asing contohnya mereka akan dapat peluang kerja dan tidak perlu pergi jauh-jauh,” katanya mengulas mengenai pembangunan yang sudah dan akan dibuat di Bukit Batu.
Arthur, 36, akan bertemu calon Barisan Nasional (BN), R K Kumaran; 56; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), M Premanand, 53, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), G Tamili, 30, dan calon Bebas, Datuk Kamaruzaman Ali, 63.
Beliau berkata, sepanjang empat tahun ini pelbagai pembangunan dapat dilihat di Kulai apabila banyak kilang beroperasi, perniagaan rancak dan pelaburan asing masuk.
Dakwanya, beliau juga dapat menyelesaikan beberapa masalah seperti kesesakan di kawasan bulatan dan selekoh yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Dalam pada itu katanya, sejak hari penamaan calon Sabtu lalu, beliau dan jentera mengadakan program futsal dan belia bagi mendekati golongan berkenaan.
“Begitu juga saya akan lakukan walkabout di semua taman dan kampung untuk bertemu penduduk setempat,” katanya.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. – MalaysiaGazette
















