Calon Barisan Nasional N.09 Bukit Gambir, Sahrihan Jani berucap pada majlis Taklimat Bersama Timbalan Presiden UMNO bersama jentera UMNO BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Gambir ketika di Sawah Ring, Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

BUKIT GAMBIR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Sahrihan Jani menyifatkan amanat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai suntikan semangat luar biasa kepada seluruh jentera BN di kawasan itu.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, amanat oleh Timbalan Presiden UMNO yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat itu menjadi azimat kepada seluruh jentera BN untuk memperkukuhkan gerak kerja jentera di DUN Gambir.

Menurutnya, Tok Mat antara lain menyeru agar seluruh jentera terus memperkukuhkan perpaduan, mengekalkan disiplin, memperhebatkan gerak kerja dan tidak sesekali berasa selesa sehingga hari pengundian.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon Barisan Nasional N.09 Bukit Gambir, Sahrihan Jani bergambar bersama jentera selepas majlis Taklimat Bersama Timbalan Presiden UMNO bersama jentera UMNO BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Gambir ketika di Sawah Ring, Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

“Pesanan beliau cukup jelas, kemenangan tidak datang dengan hanya kata-kata, tetapi lahir daripada kerja keras, pengorbanan, kesetiaan dan semangat juang seluruh jentera.

“Insya-Allah, kami di DUN Gambir akan terus bergerak sederap, mendekati setiap pengundi, menyantuni setiap lapisan masyarakat dan memastikan segala usaha yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Terima kasih Tok Mat atas amanat ,nasihat dan semangat yang diberikan kepada seluruh jentera DUN Gambir.

“Dengan izin Allah SWT, kami akan terus bekerja sehingga ke garisan penamat,” katanya.

Semalam, Mohamad yang juga Menteri Luar menyampaikan amanat kepada jentera BN dalam majlis Taklimat Bersama Timbalan Presiden UMNO bersama jentera UMNO BN bagi kerusi DUN Gambir sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Sawah Ring, di sini.

Dalam taklimat itu, Mohamad antara lain mengingatkan seluruh jentera BN khususnya ahli-ahli UMNO menumpukan sepenuhnya usaha dan tenaga untuk memastikan kemenangan BN termasuk di DUN Gambir pada PRN Johor kali ini.

Menurut Mohamad, jentera BN itu perlu mengetepikan rasa tidak puas hati dan menolak percubaan sabotaj khususnya kerana rasa tidak puas hati disebabkan tidak terpilih sebagai calon atau pemimpin sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan dalaman.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon Barisan Nasional N.09 Bukit Gambir, Sahrihan Jani hadir pada majlis Taklimat Bersama Timbalan Presiden UMNO bersama jentera UMNO BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Gambir ketika di Sawah Ring, Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

Sementara itu, Sahrihan berkata, amanat Tok Mat juga membakar semangat seluruh jentera agar terus bersatu, memperhebatkan gerak kerja dan tidak berputus asa sehingga hari pengundian.

“Insya-Allah, kami akan terus bekerja bersungguh-sungguh demi memastikan kemenangan BN,” katanya.

Tambah Sahrihan, sekiranya terus diberikan amanah juga, beliau akan terus bekerja lebih kuat, mendengar suara rakyat dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan demi masyarakat DUN Gambir.

“Marilah kita bersama-sama mengekalkan pentadbiran BN di Negeri Johor demi kestabilan dan kesinambungan pembangunan yang telah kita kecapi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast