KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi melakar sejarah dalam kerjaya seninya apabila tampil menyanyikan lagu penuh berbahasa Mandarin buat pertama kali menerusi single Be Like Water (像水一样) bersama penyanyi dan pencipta lagu tiga bahasa, Firdhaus.
Kolaborasi berkenaan bukan sahaja menjadi detik baharu dalam perjalanan seni Siti Nurhaliza yang menjangkau lebih tiga dekad, malah diangkat sebagai lagu tema rasmi tanggungjawab sosial korporat (CSR) CUCKOO Malaysia di bawah Projek CUCKOO Loves, Cares.
Siti Nurhalizza berkata, peluang merakamkan lagu dalam bahasa Mandarin merupakan satu pengalaman yang cukup mencabar kerana beliau perlu menghafal lirik serta mempelajari sebutan bahasa itu dengan teliti.
“Saya masih lagi belajar bahasa Mandarin. Ini adalah satu pengalaman yang sangat bermakna buat saya dan saya berterima kasih kepada Firdhaus kerana begitu sabar membimbing saya sepanjang proses rakaman,” katanya.
Lagu yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Firdhaus itu membawa mesej kasih sayang, harapan dan keprihatinan dengan mengambil inspirasi daripada falsafah “Be Water” yang dipopularkan legenda seni bela diri, Bruce Lee.
Menurut kenyataan media, falsafah tersebut menggambarkan sifat air yang lembut tetapi memiliki kekuatan luar biasa, mampu menyesuaikan diri dengan setiap keadaan serta membawa perubahan secara tenang tanpa kehilangan jati diri.
Lebih istimewa, Be Like Water merupakan lagu Mandarin penuh pertama yang pernah dirakamkan Siti sepanjang lebih 30 tahun bergelar anak seni.
Penyanyi itu turut mendedahkan beliau telah lama mengagumi bakat penulisan lagu Firdhaus sebelum memilihnya untuk projek berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, pengalaman bekerjasama dengan penyanyi muda berkenaan pada awalnya menimbulkan rasa gementar, namun perasaan tersebut bertukar menjadi penghormatan dan keterujaan apabila melihat keserasian kreatif yang terjalin sepanjang proses rakaman.
Firdhaus turut membantu membimbing sebutan bahasa Mandarin Siti secara teliti bagi memastikan setiap bait lagu disampaikan dengan sempurna.
Bagi memperkukuhkan emosi karya berkenaan, rakaman lagu itu turut menampilkan Budapest Scoring Orchestra serta Dandelion Choir di bawah sentuhan penerbit dan penggubah lagu, Aubrey Suwito. – MalaysiaGazette
















