Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 23 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer memuji tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sudi duduk semeja dengan pemimpin DAP untuk berbincang mengenai kepentingan rakyat.

Menurut Rayer, disebabkan itu ramai dalam kalangan ahli Parlimen DAP hadir memberikan sokongan ketika sesi taklimat pindaan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 yang disampaikan Ahmad Zahid walaupun ada pihak yang enggan melakukan tindakan sama seperti Presiden UMNO itu.

“Saya berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri. Saya turut hadir ketika taklimat diberikan kepada ahli-ahli Parlimen.

“Ramai Ahli Parlimen DAP yang hadir untuk memberikan sokongan walaupun ada yang tidak mahu mengundang kita untuk duduk semeja.

“Tetapi Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri berbesar hati memberikan taklimat dan kami rata-rata bangun untuk menyokong RUU ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pindaan RUU Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menolak untuk kerjasama dengan DAP dan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Onn Hafiz berkata, realiti politik di negeri itu berbeza di peringkat Persekutuan apabila kerjasama BN khususnya UMNO dan DAP tidak pernah terjalin selama ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast