SERDANG, 30 Jun – Seekor ikan patin seberat 8.600 kilogram (kg) membawa tuah kepada seorang pemancing dari Kajang apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing Gegar Pancing Selangor yang berlangsung di Kolam Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini Ahad lalu.

Muhammad Nor Iman Mohd. Adnan, 21, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 selepas berjaya menaikkan ikan patin berkenaan pada pukul 9.24 pagi menggunakan umpan roti pandan.

“Saya datang bersama abang untuk memancing secara santai dan bersyukur kerana diberikan rezeki untuk memenangi pertandingan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Menurutnya, wang kemenangan yang diterima akan digunakan untuk membantu perbelanjaan keluarganya.

Tempat kedua pula dimenangi Ahmad Shahir Roisuddin, 34, yang juga dari Kajang selepas berjaya menaikkan ikan patin seberat 8.165 kg pada pukul 11.10 pagi menggunakan umpan roti pandan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Muhammad Shahzarul Aqil Mohd. Shahrul, 15, dari Seremban, Negeri Sembilan menerusi tangkapan ikan patin seberat 8.000 kg pada pukul 9.45 pagi yang melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Menariknya, ketiga-tiga pemenang utama pertandingan berjaya memperoleh tangkapan menggunakan umpan roti pandan yang dilihat menjadi pilihan utama bagi memancing spesies patin di Kolam UPM.

Pertandingan yang dianjurkan bersama oleh UPM Holdings dan Lestari Events dengan kerjasama Tourism Malaysia itu berjaya menarik hampir 500 peserta dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.

Suasana pertandingan mula rancak seawal pukul 9.19 pagi apabila peserta mula menaikkan pelbagai spesies ikan, khususnya patin dan tongsan yang mencuri tumpuan sepanjang pertandingan berlangsung.

Spesies patin mendominasi kedudukan 10 terbaik pertandingan, manakala spesies lain seperti tongsan, lekoh, rohu, tilapia, ketutu, raja, lampam dan haruan turut berjaya dinaikkan oleh peserta.

Penyertaan kaum wanita turut mencuri perhatian apabila berjaya memberikan saingan sengit kepada peserta lelaki sekali gus memeriahkan suasana pertandingan.

Pengurus Besar Kanan, UPM Business Management Sdn. Bhd., Mohammad Zamzillah Ahmad (kiri) melihat tangkapan ikan patin seberat 8.600 kilogram yang muncul sebagai juara pertandingan Gegar Pancing Selangor di Kolam UPM, Serdang.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan, UPM Business Management Sdn. Bhd., Mohammad Zamzillah Ahmad.

Sementara itu, Pengurus Acara Lestari Events, Zaiton Ahmad berkata, penganjuran pertandingan tersebut bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, selain merancakkan produk pelancongan setempat, khususnya Kolam UPM yang terkenal dengan kehijauan dan keindahan persekitarannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast