Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George

KUALA LUMPUR – Masyarakat India disifatkan mampu menjadi  faktor penentu keputusan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) campuran dan marginal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mempengaruhi kesinambungan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Ahli Pimpinan Pusat PKR, Dr Gunaraj George berkata, walaupun masyarakat India merupakan kelompok minoriti di Johor, setiap undi mempunyai nilai signifikan dalam persaingan yang dijangka sengit.

Menurut beliau, sokongan pengundi India kepada Pakatan Harapan (PH) penting bagi memastikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat mandat untuk meneruskan agenda reformasi serta pembangunan negara.

“Dalam pertandingan yang sengit, setiap undi membawa makna yang besar. Masyarakat India bukan sekadar memilih wakil rakyat, malah menentukan sama ada Johor dan Malaysia akan terus menikmati kestabilan politik serta kesinambungan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa berkata, kestabilan politik perlu dikekalkan bagi memastikan negara terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Kestabilan politik bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi, pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat.

“Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang terus bekerja dan menyelesaikan masalah, bukannya negara yang kembali dibelenggu ketidaktentuan politik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat India di Johor supaya keluar mengundi pada 11 Julai dan memberikan sokongan kepada PH.

Dalam pada itu, Gunaraj berkata, Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat India sepanjang lebih tiga setengah tahun mentadbir negara.

Menurutnya, antara langkah yang dilaksanakan termasuk peningkatan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) daripada RM100 juta kepada RM150 juta, selain menambah baik aspek tadbir urus dan ketelusan agensi berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), menyediakan peruntukan penyelenggaraan rumah ibadat termasuk kuil, memperluaskan program TVET

Selian menyalurkan bantuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana.

Pada masa sama, katanya, kerajaan terus memperkukuh agenda reformasi institusi, memperbaiki tadbir urus serta memperhebat usaha membanteras rasuah bagi memastikan pembangunan negara dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, pengundi kini berpeluang menilai kerajaan berdasarkan rekod pencapaian dan dasar yang telah dilaksanakan, bukan sekadar dipengaruhi sentimen politik.

“Pilihan raya ini bukan sekadar memilih wakil rakyat.

“Ia juga menentukan sama ada negara meneruskan kestabilan politik dan pembangunan atau kembali kepada ketidaktentuan yang boleh menjejaskan ekonomi serta keyakinan pelabur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast