KULAI – Pencapaian dan semua kerja keras penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu akan jadi petunjuk prestasi utama (KPI) rakyat menilai serta memilih semula Arthur Chiong Sen Sern.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang berharap, calon parti itu yang mewakili Pakatan Harapan (PH) itu sudah melakukan yang terbaik menebus kemenangan tipis pada PRN Johor lalu iaitu dengan hanya majoriti 137 undi.
“Strategi kita untuk menang kembali di DUN Bukit Batu adalah dengan segala pencapaian dan banyak masalah yang sudah diselesaikan beliau di peringkat tempatan. Kalau kalah tak boleh buat apa.
“Harap usaha ini dihargai penduduk DUN Bukit Batu. Beliau seorang yang rajin turun padang dan efektif dalam menyelesaikan masalah tempatan.
“Beliau juga memainkan peranan penting dalam sidang DUN Johor dan PKR rasa sangat puas hati dengan prestasi beliau. Personaliti beliau juga yang mudah didekati juga menjadi sandaran,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas melancarkan Manifesto Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini hari ini.
Turut hadir Arthur Chiong.
Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Arthur juga mewakili calon PH yang merupakan tunjang utama kerajaan di peringkat Persekutuan.
Atas sebab itu, PH sekali lagi meletakkan Arthur sebagai calon DUN Bukit Batu dan mengharapkan para pengundi akan berpuas hati dengan prestasi Arthur dan memilihnya.
Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Kulai menewaskan S Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.
Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.
Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahu pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan ketika proses pengiraan undi.
Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.
Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemukan petisyen pilihan raya.
Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah. – MalaysiaGazette
















