Nazmi Faiz Mansor. Foto FB Kuching City.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor sah menyertai naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kuching City FC selepas mengumumkan ‘perpisahan’ dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkembangan terkini itu dibuat Kuching City di laman media sosial kelab di mana pemain tengah itu menyertai skuad The Cats secara pinjaman daripada Harimau Selatan.

Selain Nazmi, Kuching City turut mengumumkan kehadiran bekas penyerang Penang, Dylan Wenzel-Halls yang akan memperkuatkan jentera hadapan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

“Dalam bola sepak, setiap bandar menanti kemunculan wira baharunya. Setiap musim menuntut sebuah kisah yang baharu. Lembaran baharu kini bermula. Keputusan sudah dibuat.

“Seorang tonggak bahagian serangan kini menyertai ‘City of Unity’ dengan penuh cita-cita dan tekad. Dylan Wenzel-Halls kini secara rasmi bergelar pemain Kuching City FC. Perjalanan bermula sekarang,” tulis Kuching City di media sosial kelab itu di sini.

Nazmi, 31, menyertai JDT pada awal musim 2017 dan menjadi antara tonggak penting kelab dalam era dominasi Harimau Selatan di pentas domestik serta Asia.

Sementara itu, Kuching City dilihat memperkasa skuad itu bagi menghadapi saingan musim yang depan lebih mencabar terutama apabila mereka bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Kehadiran pemain berpengalaman seperti Wenzel-Halls dilihat mampu memberi impak terhadap The Cats dengan dia pernah menjulang Piala AFC bersama Central Coast Mariners pada musim 2023/24. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast