KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kewujudan individu yang menyamar sebagai pegawai agensi itu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, sambil menegaskan tindakan tersebut adalah tidak sah, menyalahi undang-undang serta boleh menjejaskan integriti institusi.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, orang ramai perlu sentiasa berwaspada sekiranya berdepan dengan individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai suruhanjaya berkenaan.
“Semak terlebih dahulu identiti melalui saluran rasmi sebelum memberikan sebarang maklumat atau kerjasama,” kata kenyataan itu.
Menurut SPRM, sebarang insiden penyamaran perlu segera dilaporkan kepadanya bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
SPRM turut menegaskan, perbuatan menyamar sebagai pegawai SPRM merupakan satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang sedia ada.
Antara peruntukan yang boleh dikenakan ialah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut boleh dikenakan dengan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
SPRM berkata, tindakan lanjut juga boleh diambil di bawah undang-undang lain sekiranya penyamaran itu melibatkan penipuan atau cubaan memperdaya masyarakat.
Orang ramai boleh mendapatkan pengesahan atau maklumat sahih melalui laman web rasmi SPRM di www.sprm.gov.my, media sosial rasmi agensi itu serta talian bebas tol 1-800-88-6000. – MalaysiaGazette
















