debat Onn Hafiz
Amiruddin Md Ali Hanafiah

JOHOR BAHRU – Persatuan Penulis Johor (PPJ) mencadangkan debat antara Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Dr Maszlee Malik dibuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali Hanafiah berkata, penganjuran debat semasa tempoh kempen PRN tidak sesuai, walaupun kedua-duanya mempunyai manfaat dalam menyuburkan amalan demokrasi.

“PPJ berpendapat tempoh kempen pilihan raya yang singkat menyebabkan perdebatan lebih tertumpu kepada retorik dan janji politik, sedangkan cadangan atau penyelesaian yang dikemukakan belum tentu dapat dilaksanakan.

“PPJ mengakui bahawa kedua-dua tokoh yang sering dikaitkan dalam cadangan debat, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Dr Maszlee Malik mempunyai pengetahuan serta keupayaan untuk berhujah.

“Namun begitu, penganjuran debat semasa tempoh PRN dilihat kurang tepat daripada segi masa dan tujuannya,” katanya dalam satu kenyataan.

PPJ berpandangan debat lebih sesuai diadakan selepas PRN agar perbincangan dapat memberi tumpuan terhadap dasar, pelaksanaan serta penyelesaian isu-isu rakyat dan bukan sekadar persaingan politik sepanjang tempoh berkempen.

Sekiranya debat melibatkan kepimpinan negeri, PPJ mencadangkan agar diadakan antara pemimpin yang setaraf, seperti Menteri Besar dengan Pengerusi parti atau pemimpin bertaraf menteri yang berkaitan.

Jika debat tetap mahu dianjurkan sepanjang tempoh PRN, PPJ berpandangan lebih wajar diadakan antara calon-calon yang bertanding di kawasan masing-masing supaya isu yang dibincangkan lebih dekat dengan keperluan dan kepentingan pengundi setempat.

PPJ turut mengingatkan bahawa debat antara pemimpin daripada parti yang berbeza pernah diadakan di luar musim pilihan raya.

Sebagai contoh katanya, debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 2008 yang menjadi platform perbahasan dasar serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Pada pandangan PPJ, perdebatan akan menjadi lebih bermakna sekiranya melibatkan individu yang sedang memegang jawatan eksekutif atau mempunyai tanggungjawab langsung terhadap dasar yang dibawa.

Dalam keadaan semasa katanya, debat yang dicadangkan berisiko bertukar menjadi medan kritikan dan tuding-menuding politik semata-mata tanpa menghasilkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

Sehubungan itu, PPJ berharap semua pihak dapat mengutamakan kematangan politik dengan memastikan sebarang debat atau dialog dianjurkan pada masa yang lebih sesuai agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuhkan amalan demokrasi negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast