BATU PAHAT – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan pengundi muda berusia antara 18 hingga 25 tahun sebagai kelompok paling kritikal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor
Menteri Besar Johor itu berkata, kumpulan terbabit paling dibimbangi kerana mudah terpengaruh dengan naratif politik yang disebarkan Pakatan Harapan (PH) menerusi media sosial sekali gus mengulangi episod kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Beliau berkata, penggunaan platform seperti Facebook, Instagram dan Threads menyebabkan golongan berkenaan terdedah kepada pelbagai dakwaan dan hasutan yang boleh mempengaruhi corak pengundian mereka.
“Saya punya kerisauan ialah anak muda, disebabkan media sosial, ada Facebook, Instagram dan Threads, saya risau ramai termakan dengan hasutan yang dibuat di sebelah sana (PH).
“Ini umur yang saya anggap kritikal. Kalau kita tidak didik mereka, saya takut peristiwa 2018 akan berulang kembali,” katanya ketika berucap pada Program Kasi On Bersama MB Johor di Semerah, di sini hari ini.
Hadir sama calon BN DUN Semerah yang juga penyandang kerusi berkenaan, Mohd Fared Mohd Khalid.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga calon DUN Machap berkata, petugas Jalinan Rakyat (JR) Wanita BN juga perlu memainkan peranan lebih agresif mendekati pengundi muda kerana menurutnya, pihak lawan sedang giat mempengaruhi mereka melalui media sosial.
“Dulu anak-anak balik kampung mempengaruhi ibu dan ayah. Kali ini kita pula kena mempengaruhi mereka kerana sebelah sana menghasut dengan amat dahsyat sekali,” katanya.
Beliau turut mengimbau keadaan pada 2018 apabila ramai anak muda didakwa terpengaruh dengan pelbagai janji pilihan raya yang akhirnya gagal ditunaikan.
“Kita tak nak apa yang berlaku pada 2018 berulang lagi apabila ramai anak-anak muda terpengaruh dengan janji bulan dan bintang, PTPTN percuma, harga minyak nak turun dan macam-macam lagi.
“Sebab itu peranan kita sebagai ibu bapa untuk menasihati anak-anak sangat penting. Memang mereka boleh membuat keputusan sendiri, tetapi sebagai anak muda, ramai yang mudah terpengaruh dengan hasutan,” katanya. – MalaysiaGazette
















