KUALA LUMPUR – Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah meluluskan pembiayaan bernilai RM4.9 bilion kepada lebih 6,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi separuh pertama ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan akses PMKS kepada pembiayaan.
“Ia juga meringankan kos perniagaan dan menyokong kelangsungan operasi mereka,” kata pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di simi hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai sama ada Kerajaan MADANI peka kepada cabaran yang dihadapi sektor perniagaan, khususnya usahawan PMKS dalam menghadapi senario global semasa dan langkah kerajaan untuk menyokong kelangsungannya.
Anwar berkata, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan bernilai lebih RM15 bilion bagi menyokong keperluan modal kerja PMKS.
Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, sebanyak RM5 bilion dikhususkan kepada bumiputera. – MalaysiaGazette
















