ISKANDAR PUTERI – Undi golongan muda akan menjadi antara penentu utama keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana lebih 60 peratus pengundi di Johor kini berusia 50 tahun ke bawah, manakala lebih separuh lagi berumur bawah 40 tahun.
Justeru, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mahu golongan muda membuat pilihan tepat dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah serta tomahan yang berleluasa dalam media sosial.
“Saya berharap pengundi muda di Johor membuat keputusan yang baik dan keputusan yang betul. Jangan kita ikut fitnah ataupun tomahan yang kadang-kadang berleluasa dalam media sosial.
“Yang penting, kerajaan yang akan ditubuhkan selepas 11 Julai ini mestilah sebuah kerajaan yang mantap dan mampu mentadbir Johor dengan stabil untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Sembang Santai Bersama Pengundi DUN N49 Kota Iskandar di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai di sini malam ini.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengundi muda berusia antara 18 hingga 25 tahun dikategori sebagai kritikal kerana golongan ini mudah terpengaruh hasutan dan fitnah yang menyebabkan BN tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Katanya yang mesra dipanggil Tok Mat, golongan itu yang berada di luar Johor pulang ke kampung serta mempengaruhi ibu bapa masing-masing yang menyebabkan BN hilang tampuk di Johor.- MalaysiaGazette
















