JOHOR BAHRU – Keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai satu masterstroke politik yang berjaya mematahkan serangan pembangkang, sekali gus menamatkan polemik kononnya UMNO bergantung kepada DAP.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, langkah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu merupakan strategi politik tepat kerana berjaya mengubah rentak kempen lawan sepanjang tempoh pilihan raya berkenaan.
“Isunya bukan soal kaum atau bangsa, tetapi parti itu dilihat tidak sesuai dengan landskap politik Johor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengumuman berhubung pendirian BN itu turut memberi kesan kepada kempen pembangkang, termasuk PAS yang sebelum ini sering memainkan naratif kononnya UMNO merupakan ‘parti DAP’.
“Saya anggap itu satu masterstroke, satu pukulan yang sangat berkesan oleh Onn Hafiz.
“Selama kira-kira 13 hari selepas pengumuman itu, tidak ada lagi kempen yang mengajak rakyat menolak BN atas alasan UMNO adalah parti DAP. Malah PAS sendiri bertanding di kerusi-kerusi yang akhirnya tidak mampu membentuk kerajaan,” katanya.
Tambah Ahmad Shabery, strategi tersebut berjaya mengubah keseluruhan naratif politik di Johor sehingga isu yang sering dimainkan terhadap UMNO tidak lagi menjadi bahan utama sepanjang kempen pilihan raya.
“Orang dari Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang yang turun berkempen juga tidak lagi membawa isu UMNO sebagai parti DAP. Saya melihat ia benar-benar satu Langkah politik yang menyelesaikan isu tersebut,” katanya.
Barisan Nasional (BN) meletakkan semua calon di 56 DUN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan 11 Julai ini.
Esok kira-kira 2.7 juta pengundi layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, membabitkan 1,076 pusat mengundi dan 4,889 saluran di seluruh negeri. – MalaysiaGazette
















