KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar kegiatan mengemis yang didalangi warga Indonesia dengan memperalatkan individu orang kurang upaya (OKU) tempatan yang cacat penglihatan bagi meraih simpati orang ramai dalam operasi khas di sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pukul 10 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan.
Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap 10 individu membabitkan lima rakyat tempatan dan lima warga asing.
“Hasil operasi, lima wanita warga Indonesia berusia antara 29 hingga 56 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Semakan awal mendapati dua daripada mereka menyalahgunakan pas yang dimiliki iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara (Sektor Pembantu Rumah) dan Pas Lawatan Sosial, seorang tinggal lebih masa manakala dua lagi tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut menyita tiga pasport Indonesia, beberapa barangan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti mengemis serta wang tunai RM159 yang dipercayai hasil kutipan kegiatan berkenaan.
Siasatan awal mendapati, sindiket itu menggunakan individu OKU tempatan yang cacat penglihatan untuk menarik simpati orang ramai dengan warga Indonesia bertindak memimpin mangsa ke lokasi tumpuan awam terutama kawasan kedai makan pada waktu malam.

“Mereka dipercayai berpura-pura sebagai pasangan suami isteri bagi mengelirukan pihak berkuasa. Orang ramai yang menghulurkan sumbangan pula akan diberikan tisu sebagai balasan bagi mewujudkan persepsi kononnya mereka menjalankan aktiviti jualan,” jelasnnya.
Tambah beliau, kegiatan itu dipercayai mampu menjana pendapatan antara RM100 hingga RM200 setiap malam dan telah beroperasi sejak awal Januari tahun ini.
Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
Zakaria menegaskan, JIM akan terus mempergiat penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















