Teo Nie Ching

JOHOR BAHRU – DAP Johor menerima keputusan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas hanya menang enam daripada 17 kerusi yang ditandingi.

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching mengakui kekalahan mereka dan pada masa sama mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan majoriti mudah.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi yang keluar mengundi dan DAP amat menghargai segala sokongan yang diberikan.

“Sudah tentu ada kekurangan dan kelemahan yang patut kami perbaiki. Sudah tentu keputusan ini menghantar satu mesej untuk kami buat yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, BN mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi yang disandang sebelum ini.

Dakwanya, undi yang diperolehi calon-calon Perikatan Nasional (PN) semasa PRN pada 2022 di Johor Jaya dan Perling sudah dipindahkan kepada calon-calon BN dalam PRN Johor semalam.

“Maka, walaupun dengan peningkatan peratusan undi untuk PH di kedua-dua kerusi tersebut, ia masih belum mencukupi untuk menangkan calon PH.

“Kami akan meneliti faktor-faktor lain yang mengakibatkan kekalahan kami di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, DUN Tangkak dan kerusi DUN yang ditandingi, dan mengambil ikhtibar serta memperbaiki kelemahan kami,” katanya.

DAP juga katanya, akan memastikan segala usaha membina negara dan memperjuangkan hak rakyat diteruskan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi malam tadi, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala lapan lagi oleh Pakatan Harapan (PH).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast