JOHOR BAHRU – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rashifah Al Junied yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam sedar ‘jalan’ yang ditempuh adalah sukar.

Beliau yang merupakan Timbalan Bendahari Agung MUDA berkata, kesukaran tersebut sudah diketahui sejak awal lagi namun sudah bersedia berdepan dengannya.

“Saya buat semua ini sebab saya percaya pada sebuah parti yang benar-benar bercakap tentang rakyat dan saya sudah berkhidmat di Puteri Wangsa, selama empat tahun.

“Seramai 5,887 orang (pengundi yang mengundinya) meletakkan kepercayaan kepada seorang anak muda berusia 26 tahun untuk menjadi wakil rakyat mereka.

“Saya dah cuba sebaik mungkin untuk membawa suara yang dengari dan wajah-wajah yang lihat selama empat tahun di Puteri Wangsa. Namun, kali ini, kami kalah.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua orang dalam team saya yang percaya kepada saya sebagai calon Puteri Wangsa sepanjang beberapa minggu ini,” tulisnya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, ramai di antara mereka termasuk yang masih berusia bawah 25 tahun baru pertama kali terlibat pilihan raya tetapi semangat dan harapan yang dibawa untuk negara jauh lebih besar daripada usia.

“Kami semua tahu dari awal bahawa ini adalah satu perjuangan yang sukar. Tetapi perjalanan kita belum berakhir, sebab kami masih lagi menuju ke garisan penamat.

“Buat Puteri Wangsa, saya tidak akan pernah melupakan kamu semua. Di sinilah saya paling banyak belajar dan saya menghormati pilihan yang telah dibuat,” katanya.

Beliau berharap selepas ini akan lebih ramai anak muda berani menceburi politik walaupun jalannya mungkin sukar, tidak ada apa apa yang mustahil dalam politik.

Pada PRN Johor kali ini, Rashifah gagal mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa yang dimenangi Presiden MUDA, Amira Asiya Abdul Aziz pada pilihan raya 2022 dengan majoriti 7,114 undi.

Beliau dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik, Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan calon Bebas, Wang Wee Siong.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast