Alias Rasman

JOHOR BAHRU – Kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) mendapati sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diterima dengan hati terbuka.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor, Alias Rasman berkata, keputusan itu tidak akan mematahkan semangat parti berkenaan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Sebagai pemimpin muda Bersatu di Johor, saya menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan penuh rasa tanggungjawab.

“Perjuangan untuk rakyat tidak terhenti di peti undi. Ia mesti diteruskan dengan kerja, khidmat dan suara yang konsisten.

“Saya akan terus istiqamah berkhidmat, bersuara dan membawa pandangan anak muda serta rakyat akar umbi demi kepentingan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan.

Alias turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor.

Beliau berharap amanah besar yang dipikul Onn Hafiz dapat digalas dengan sebaiknya demi memastikan kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Johor memerlukan peranan semak dan imbang yang matang, berani serta bertanggungjawab khususnya membabitkan isu asas rakyat, peluang ekonomi golongan muda, kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan masa depan negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera, penyokong, ahli parti dan rakan seperjuangan atas usaha, pengorbanan serta komitmen yang diberikan sepanjang PRN berlangsung.

“Kita mungkin belum berjaya kali ini, tetapi perjuangan untuk rakyat mesti diteruskan. Dengan semangat yang lebih kuat, kita akan bangkit semula,” katanya.

Alias turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti atas tiket Perikatan Nasional (PN) namun tewas.

Pada PRN Johor ke-16, Bersatu tewas semua 16 kerusi DUN ditandingi termasuk di Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya menerusi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi malam tadi, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala lapan lagi oleh Pakatan Harapan (PH).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast