P. Waytha Moorthy.

KUALA LUMPUR – Mantan Menteri, P. Waytha Moorthy menyifatkan kenyataan pemimpin DAP, Nga Kor Ming berhubung kemungkinan pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak wajar serta menggesanya memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Waytha yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) berkata, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu dilihat seolah-olah mendahului serta mempertikaikan kuasa YDPA di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa memberi pengampunan.

Beliau berkata, sebagai seorang peguam, Kor Ming sepatutnya memahami proses kehakiman terhadap Najib telah selesai sepenuhnya selepas semua prosiding mahkamah dan rayuan disempurnakan.

“Mahkamah telah melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya dengan mendengar kes, mensabitkan kesalahan, menjatuhkan hukuman dan menyelesaikan semua proses rayuan.

“Integriti badan kehakiman tidak terjejas hanya kerana satu mekanisme perlembagaan yang berasingan, iaitu kuasa pengampunan YDPA yang mungkin digunakan selepas itu,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

Waytha mengulas kenyataan Kor Ming yang dilaporkan berkata,  beliau akan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet sekiranya Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman setimpal kerana ia didakwa akan menjejaskan integriti badan kehakiman serta kedaulatan undang-undang.

Menurut Waytha, kenyataan sedemikian bukan sahaja mendahului satu proses perlembagaan yang belum tentu berlaku, malah boleh menimbulkan persepsi bahawa pelaksanaan kuasa pengampunan oleh YDPA akan menjejaskan integriti badan kehakiman.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila kenyataan itu dibuat oleh seorang menteri Kabinet yang sering merujuk kepada Rukun Negara, khususnya prinsip kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Kesetiaan kepada Raja bukan sekadar bersifat simbolik sebaliknya menuntut penghormatan terhadap setiap kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan, termasuk kuasa memberikan pengampunan.

“Seseorang tidak boleh mendakwa mempertahankan kedaulatan undang-undang, tetapi pada masa sama menimbulkan keraguan terhadap institusi perlembagaan yang diberikan kuasa secara jelas oleh Perlembagaan,” tegasnya.

Waytha turut mempersoalkan sama ada kenyataan Kor Ming itu berpunca daripada salah tafsiran terhadap kedudukan Perlembagaan atau cubaan mempengaruhi pelaksanaan kuasa Yang di-Pertuan Agong melalui ancaman untuk meletakkan jawatan.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak tepat dari sudut undang-undang, malah berbahaya kerana boleh memberi tekanan politik terhadap pelaksanaan kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

Sehubungan itu, Waytha menggesa Kor Ming menarik balik kenyataannya dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada YDPA sebagai tanda menghormati Perlembagaan serta institusi Raja Berperlembagaan di negara ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. nga kor Meng dah jadi Nyiur kor Meng…kosong, zero nak minum air dah kering, nak makan isi dah tiada. Jadi elok lah letak jawatan walk the talk…bukan bagi alasan demi alasan..mana maruah sebagai seorang menteri yg jelas tiada telur.

Comments are closed.