KUALA LUMPUR – Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) yang mengangkat tema ‘Meraikan Empat Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia’ bakal memberi kelainan tersendiri menerusi pelbagai pembaharuan yang menjanjikan kejutan kepada peminat muzik tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, antara tarikan utama AJL40 ialah penglibatan semula pengarah muzik berpengalaman, Aubrey Suwito, yang bakal menyuntik dimensi baharu kepada persembahan kesemua finalis.
“10 finalis ni secara automatik akan mendapat sentuhan daripada Aubrey Suwito. Dengan kehebatan dimiliki beliau, kesemua finalis harus mengambil peluang ini untuk bertanya, melebarkan pendapat mereka tentang bagaimana persembahan mereka boleh memberi kelainan kepada para penonton,” katanya pada sidang media majlis ‘AJL40: The First Look’ baru-baru ini.
Selain memperkenalkan 10 finalis AJL40, majlis istimewa itu turut menyaksikan penyampaian ‘Anugerah Ikon AJL40’ kepada Faizal Tahir dan Hael Husaini sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam penciptaan karya, pembangunan bakat serta pembinaan ekosistem muzik tempatan.
“Mereka berdua adalah individu yang banyak memberi peluang kepada artis-artis lain, untuk menaikkan nama artis-artis lain,” kata Nini lagi.
AJL40 akan dihoskan Naz Rahman dan Sissy Iman di pentas utama manakala Fizi Ali bersama Fiza Frizzy mengemudi acara karpet merah serta belakang pentas.
Dalam pada itu, peminat turut berpeluang mendekati barisan finalis menerusi siri jelajah ‘Meet and Greet’ yang akan berlangsung di Ipoh, Perak; Kuantan, Pahang; Johor Bahru, Johor; dan Kuala Lumpur.
Malam kemuncak AJL40 bakal menyaksikan persaingan sengit 10 finalis termasuk Dayang Nurfaizah, Aisha Retno, Amir Masdi, Aina Abdul dan ramai lagi di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos pukul 9.00 malam. – MalaysiaGazette















