MELAKA – Kerajaan Melaka kini tidak lagi melibatkan penyertaan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH mengumumkan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong pada sidang media khas susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan pelantikan ADUN lantikan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Susulan pengumuman itu, semua ADUN DAP, Allex Seah Shoo Chin (Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna), dua Timbalan Exco iaitu Low Chee Leong dan Leng Chau Yen, selain Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee.
secara rasmi meletakkan jawatan.
Poay Tiong berkata, turut akan meletakkan jawatan adalah semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Tambahnya, ADUN Bukit Katil daripada Amanah, Adly Zahari yang tidak hadir turut menyatakan pendirian sama dan keputusan itu diambil atas prinsip kerana semua wakil rakyat PH menolak pindaan berkenaan yang disifatkan bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Selain itu, Poay Tiong juga menolak pelantikan ADUN lantikan.
“Saya nak tegaskan di sini ADUN lantikan memang bercanggah dengan prinsip demokrasi pilihan raya (yang mana) ADUN sepatutnya dipilih melalui pilihan raya (dan) keputusannya harus diserahkan kepada pengundi.
“Sekiranya kerajaan negeri ingin mendapat khidmat daripada profesional dan pakar mereka boleh lantik sebagai penasihat bukannya begini kerana ADUN lantikan boleh masuk ke DUN dan mengundi.
“Ini bercanggah dengan prinsip pilihan raya kita di mana sepatutnya wakil rakyat adalah dipilih oleh rakyat,” katanya pada sidang media di Seri Negeri sini hari ini.
Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, peletakan jawatan itu hanya membabitkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak melibatkan kedudukan mereka sebagai ADUN.
“Surat peletakan jawatan sebagai Exco Timbalan Exco serta Timbalan Speaker oleh semua ADUN DAP akan diserahkan kepada Ketua Menteri hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















