JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menafikan khabar angin beliau sudah masuk Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu lalu.

Menurutnya, beliau kini tidak lagi aktif dalam bidang politik sebaliknya menumpukan perhatian membantu aktiviti yang melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya bukan ahli mana-mana parti politik dan saya tidak akan masuk mana-mana parti politik. Orang suka buat cerita sebab saya rapat dengan ramai orang politik tapi mereka semua sangat menghormati saya sebagai rakan.

“Penat asyik kena tuduh lompat parti. Walhal saya senang berkawan dengan semua orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum PRN Johor ke-16 Marina mengumumkan bersara daripada politik dan tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai.

Pengumumannya itu mengejutkan banyak pihak dan beberapa spekulasi timbul apabila didakwa pengunduran Marina kerana bakal bertukar kerusi ke DUN Tiram.

Mengulas lanjut, Marina berkata, semasa menjadi ADUN Skudai beliau senang bekerja dengan semua orang termasuk daripada parti lain.

“Kalau tengok Facebook saya, PSM (Parti Sosialis Malaysia) datang jumpa saya tanya tentang kawasan, saya layan. Bersama (Parti Bersama Malaysia) tanya tentang bagaimana isu kawasan, apa perlu dilakukan. Pun saya tak lokek kongsi ilmu.

“Bagi saya, bila saya dah tinggalkan politik, sedikit ilmu ini saya harap bila saya kongsi, akan berikan manfaat pada rakyat,” katanya.

Beliau berharap, semua parti politik berkenaan akan rajin dan berusaha membantu rakyat kerana akhirnya rakyat yang akan mendapat manfaatnya.

Marina memberitahu kini terlibat aktif dengan NGO dan syarikat sebagai penasihat dan membantu merangka program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Jelas beliau, antaranya terlibat aktviti dengan Food Bank Jishan yang banyak membantu pesakit-pesakit kanser.

“Saya bantu NGO atau syarikat yang mahu buat CSR untuk pastikan sasaran mereka pada orang yang betul. Sebab ada golongan di bawah yang dah dapat banyak bantuan, tapi masih cakap tak dapat apa. Jadi tugasan saya membuat semakan agensi dan lain-lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast