Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim. Foto MUHAIMIN MARWAN.

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berpendapat pergolakan politik serta kemelut perlembagaan dan institusi adat di Negeri Sembilan akan selesai selepas PRN Negeri Sembilan ke-16.

Beliau yakin konflik tersebut akan selesai secara demokrasi pada hari pengundian PRN Negeri Sembilan ke-16 yang dijadual berlangsung 1 Ogos ini.

“Kesimpulannya maka segala pergolakan politik, perebutan kuasa dan pertikaian yang mengheret institusi adat Minangkabau di Negeri Sembilan akan terlerai daripada segala kekusutan dan Negeri Sembilan akan kembali tenang dan damai selepas PRN Negeri Sembilan nanti.

“Pergolakan yang berlaku di ruang istana, di koridor kuasa dan di Dewan Negeri akhirnya akan diselesaikan di Peti Undi. Begitulah cantiknya demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari pengundian PRN Negeri Sembilan Ke-16 dijadualkan pada 1 Ogos, manakala penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai ini.

Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan, melibatkan lebih 889,400 pengundi.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pada Sabtu ini PRN Negeri Sembilan akan memasuki tahap penting iaitu Hari Penamaan Calon yang akan memberi makna signifikan.

“Sekiranya pada Hari Penamaan Calon nanti, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyertai PRN Negeri Sembilan dengan meletakkan calon-calon mereka, membayar deposit dan menandatangani dokumen-dokumen Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), maka apakah implikasinya dari segi undang-undang,” soalnya.

Menurutnya, semua gabungan dan parti politik yang bertanding termasuk Pakatan Harapan (PH), BN dan PN melalui tindakan tersebut daripada segi undang-undang sebenarnya sudah mengiktiraf sepenuhnya PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.

“Dengan mengiktiraf PRN Negeri Sembilan, ia membawa makna semua parti politik itu mengiktiraf keabsahan Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

“Kenapa begitu? Ini kerana Aminuddin adalah individu yang menasihati Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan supaya DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 4 Jun 2026.

“Dengan memasuki PRN Negeri Sembilan maka semua parti politik yang bertanding melalui tindakan mereka telah mengiktiraf keabsahan atau legitimasi Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sebagai Yang diPertuan Besar Negeri sembilan yang sah. Kenapa begitu,” soalnya lagi.

Jelasnya, ini kerana Tuanku Muhriz bertindak selaku Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan menerima nasihat Menteri Besar lalu memperkenan pembubaran DUN tersebut dan bersetuju satu PRN Negeri Sembilan diadakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast