Suraya Sulaiman menunjukkan jarinya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Ring, Gambir, Tangkak, Sabtu lalu

TANGKAK – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir, Suraya Sulaiman akan terus memperjuangkan isu-isu rakyat walaupun tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor itu berkata, ini bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan dan kebajikan mereka terjaga.

“Walaupun keputusan pilihan raya tidak memihak kepada saya, komitmen saya untuk terus menyantuni masyarakat serta menyuarakan aspirasi rakyat DUN N09 Gambir tidak akan terhenti.

“Perjuangan untuk melihat rakyat terus terbela, berintegriti dan menikmati pembangunan yang lebih seimbang akan terus menjadi iltizam saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Suraya yang bertanding atas tiket PN memperoleh 1,888 undi manakala pesaingnya Sahrihan Jani (BN-UMNO) mendapat 13,427 undi dan Mohd Nor Mohd Yusof (PH-PKR) meraih 6,693 undi.

Calon Perikatan Nasional N.09 Bukit Gambir, Suraya Sulaiman menyantuni orang ramai dengan mengedarkan flyer manifesto sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Sawah Ring, Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2026.

Sahrihan menang dengan majoriti 6,734 undi dalam pertembungan tiga penjuru itu.

Suraya menghormati sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh para pengundi dan menerimanya dengan hati yang terbuka, penuh kematangan serta semangat demokrasi.

Katanya, setiap proses pilihan raya merupakan manifestasi terhadap amalan demokrasi yang perlu terus dipelihara demi kestabilan dan kemajuan Johor.

Beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi Pejuang khususnya Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir dan Ketua Pejuang Johor, Nornekman Osman atas kepercayaan yang diberikan untuk menjadi satu-satunya calon Pejuang dalam PRN Johor ke-16.

“Kepercayaan ini merupakan satu penghormatan yang amat besar dan saya akan sentiasa menghargai peluang serta amanah yang telah diberikan,” ujarnya.

Suraya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera PN dan pengundi DUN Gambir yang menunaikan tanggungjawab keluar mengundi Sabtu lalu.

“Ucapan penghargaan turut saya tujukan kepada seluruh warga DUN N09 Gambir yang telah memberikan sokongan, dorongan, doa serta kepercayaan sepanjang tempoh kempen.

“Setiap undi yang diberikan merupakan satu amanah yang amat saya hargai dan akan menjadi pemangkin untuk saya terus berbakti kepada masyarakat,” katanya.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Suraya Sulaiman menunjukkan jarinya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Ring, Gambir, Tangkak, Sabtu lalu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast